Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
RUU mansuh Akta Antiberita Tak Benar dibentang
Diterbitkan:  Aug 8, 2018 12:25 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Rang Undang-Undang bagi memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong membentangkan RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang mengandungi dua fasal itu bagi bacaan kali pertama.

RUU itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi pemansuhan akta berkenaan disebabkan perubahan dasar kerajaan bahawa berita tidak benar boleh ditangani di bawah undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

RUU itu juga menyatakan apa-apa penyiasatan, pendakwaan atau prosiding berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang belum selesai di bawah akta yang dimansuh, boleh diteruskan seolah akta itu masih berkuatkuasa.

Sementara itu, Kementerian Kewangan membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 juga bagi bacaan kali pertama.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan RUU itu yang bertujuan mengadakan peruntukan bagi pengeluaran sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan sebanyak RM3,065,113,896 bagi tahun 2018.

Ia berikutan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan beberapa kementerian baharu dan pembubaran satu kementerian selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Melalui RUU itu, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dicadang mendapat peruntukan tertinggi berjumlah RM1.29 bilion, diikuti perkhidmatan am perbendaharaan (RM448 juta); Kementerian Dalam Negeri (RM225.84 juta); Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (RM190.3 juta) dan Pendidikan (RM181.8 juta).

Lihat Komen
ADS