K'jaan dapatkan nasihat perundangan jika SST tak lepas Dewan Negara
Kerajaan Pakatan Harapan akan mendapatkan nasihat perundangan jika Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 dan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018 gagal lulus di peringkat Dewan Negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu terpaksa diambil kerana terdapat kesan-kesan tertentu apabila ia melibatkan dasar kewangan.
“Sudah tentu ada beberapa jalan keluar yang diteliti Kementerian Kewangan termasuk mendapatkan nasihat perundangan kerana ada implikasi tertentu apabila melibatkan rang undang-undang kewangan.
“Beberapa perkara harus kita teliti apabila dikemukakan di Dewan Negara dan sekiranya berdepan kemungkinan tidak diluluskan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Baca: Dewan Negara dikuasai BN, HARAPAN mungkin ada masalah
Dewan Rakyat malam tadi meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 selepas bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Sementara itu, Saifuddin berkata, KPDNKK terbuka dengan cadangan menguatkuasakan peraturan supaya peniaga memaparkan tanda harga semasa pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada setiap barangan.
“Saya terbuka dengan idea tersebut . Sekiranya ada kesan baik kepada pengguna, adalah munasabah dan terbuka menggunakan idea ini,” katanya.

