Berita Malaysiakini

Saya cuma membantu di Sg Kandis, kata Najib

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Datuk Seri Najib Razak berkata kemunculannya di Sungai Kandis semasa pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini dibuat dengan niat yang baik, iaitu memenangkan calon BN.

Kata bekas perdana menteri itu, Datuk Lokman Noor Adam meminta bantuannya untuk berkempen di kawasan tersebut ketika BN berdepan dengan cabaran getir merampas kerusi dewan undangan negeri itu daripada Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Saya tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menjadi presiden Umno lagi.

"Kepimpinan baru Umno perlu diberikan kepercayaan dan ruang untuk membuktikan kepimpinan mereka bagi mendapatkan kepercayaan rakyat," katanya dalam satu hantaran di media sosial malam ini.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas bekas menteri yang juga calon naib presiden Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang tidak bersetuju Najib dibawa berkempen di PRK Sungai Kandis.

Kata Johari Umno kini berdepan dengan persepsi masyarakat yang menolak parti itu pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Di PRK Sungai Kandis baru-baru ini kita juga dapat melihat bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak telah berkempen dengan begitu aktif.

"Memandangkan kes mahkamah Najib masih belum lagi dibicarakan dan mengambil kira persepsi korupsi dan pecah amanah yang masih lagi membelengungi beliau, apakah strategi Umno mengetengahkan Najib sebagai salah seorang tokoh yang aktif berkempen bagi PRK Sungai Kandis baru-baru ini suatu strategi yang bijak?" katanya.

Yakin tak bersalah

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata mustahil Umno dapat bangkit daripada kekalahannya jika parti itu terus mengimbau masa lalu dan membenarkan Najib terlibat dalam hal ehwal pertubuhan berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Khaled berkata sudah tiba masanya Umno menyedari bahawa Najib sebenarnya sedang dibicarakan dan bukannya Umno.

"Kita bukan lagi kerajaan dan kita tidak lagi mempunyai keistimewaan untuk berkata dengan yakin bahawa masih ada orang Melayu di belakang kita," katanya.

Untuk rekod Khaled dan Johari adalah segelintir pemimpin Umno yang bersikap lebih kritikal membicarakan tentang kepimpinan Umno.

Kata Najib Lokman dan pasukannya telah melakukan yang terbaik bagi memenangi PRK Sungai Kandis.

Najib yang kini dibicarakan atas tujuh tuduhan jenayah berkata Umno tidak perlu mempertahankannya.

Melalui perbicaraan yang adil, kata Najib, beliau yakin dapat mempertahankan diri di mahkamah.

"Saya juga yakin tidak bersalah terhadap segala pertuduhan yang dibuat. Kesalahan saya hanyalah kerana melakukan yang terbaik demi rakyat, negara dan parti saya," katanya.

Seakan mahu mengingatkan orang ramai, Najib berkata beliau kini masih memegang jawatan ketua bahagian serta anggota parlimen mewakili Umno.

"Saya juga mempunyai pengalaman dan pengetahuan dengan apa yang berlaku dalam kerajaan lalu.

"Oleh itu, saya akan terus bersuara terhadap apa-apa isu yang menjejaskan rakyat dan negara ini.

"Saya berhak menggunakan kebebasan bersuara saya dan berhak mempertahankan diri saya jika timbul lagi sebarang tuduhan dibuat terhadap saya atau kerajaan BN lalu," katanya.