Dua pekerja kilang ais maut manakala 18 lagi cedera selepas terhidu gas ammonia yang bocor di premis itu di Seksyen 36 Shah Alam pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam, Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin berkata dalam kejadian 5.11 pagi itu, kedua-dua mangsa - warga asing yang identiti belum dikenal pasti - meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Kelang sementara 18 pekerja warga asing yang cedera dihantar ke beberapa hospital iaitu lima di HTAR, enam di Hospital Shah Alam, tiga di Hospital Sungai Buloh dan empat di Hospital Banting bagi menerima rawatan.

“Kedua-dua pekerja yang maut itu dipercaya terhidu terus dengan gas ammonia yang bocor dari tangki simpanan bahan ketika mereka melakukan kerja rutin.

“Pekerja lain yang cedera mengalami sesak nafas, muntah-muntah dan pedih mata kerana kandungan gas ammonia tinggi bacaannya iaitu 500 ppm (parts per million) berbanding bacaan normal iaitu 50 ppm ke bawah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Azmel berkata pihaknya juga mengarahkan penduduk di kawasan perumahan berhampiran agar keluar dari premis masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut beliau lagi, setakat ini pihaknya berjaya mengurangkan kuantiti kebocoran gas ammonia kepada separuh iaitu 250 ppm di dalam kilang berkenaan manakala kualiti udara di luar kilang telah kembali normal.

“Operasi masih dijalankan untuk neutralkan bacaan gas ammonia di dalam kilang menggunakan beberapa kaedah seperti membuka semua pintu dan tingkap kilang bagi keluarkan gas, menggunakan kipas ekzos kilang dan di depan kilang kita gunakan kaedah semburan air halus.

“Setakat ini tiada mangsa lain yang berada di dalam kilang kerana pekerja lain telah selamat keluar dari premis berkenaan, namun jumlah sebenar pekerja ketika kejadian masih dalam siasatan,” katanya menambah kejadian itu adalah yang kedua berlaku di kilang itu.

- Bernama