mk-logo
Berita
'Alasan pegawai Mat Sabu dapat RM800k dari biaya khalayak sukar diterima'
Diterbitkan:  Aug 15, 2018 6:29 AM
Dikemaskini: 7:29 AM

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendedahkan lebih maklumat berhubung kes melibatkan pegawai kanan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Bekas anggota parlimen Pandan itu mendakwa diberitahu bahawa jumlah yang digunakan untuk membebaskannya daripada status muflis diperoleh melalui biaya khalayak (crowdfunding).

Beliau turut melampirkan dokumen bayaran berjumlah RM800,000 itu dalam kenyataannya hari ini, menunjukkan pegawai itu didakwa menerima empat bayaran "meragukan" berjumlah RM318,525; RM100,000; RM300,000; dan RM100,800, dalam masa dua hari iaitu pada 30 dan 31 Mei 2018.

"Alasan yang sampai kepada saya ialah wang ini hasil daripada biaya ramai yang diusahakan untuk melepaskan pegawai tersebut daripada status muflis.

"Saya sukar menerima alasan ini keraa saya tahu seorang lagi pemimpin AMANAH yang belum berjaya mengumpul dana mencukupi untuk membayar saman ke atasnya, sedangkan beliau lebih dikenali daripada pembantu Mohamad Sabu," katanya.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini semalam berhubung pegawai tersebut yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan menerima RM800,000 daripada beberapa pihak untuk menyelesaikan hutangnya.

Sumber mendakwa pembantu itu telah diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi kira-kira empat tahun lalu, tetapi hutangnya diselesaikan hanya beberapa hari selepas Mohamad mengangkat sumpah sebagai menteri.

SPRM menyiasat sama ada hutang itu diselesaikan dengan niat mendapatkan projek sebagai balasan, kata sumber itu lagi.

Hari ini, Mohamad berkata beliau mengalu-alukan siasatan SPRM dan tidak akan berkompromi dalam soal integriti.

Beliau berkata akan memberikan kerjasama penuh terhadap SPRM dan pegawainya perlu dibawa ke mahkamah jika terdapat cukup bukti tentang dakwaan itu.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini