Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM bakal lawat China, bertemu Presiden Xi Jin Ping
Diterbitkan:  Aug 16, 2018 11:06 AM
Dikemaskini: 3:23 AM

Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Rakyat China (RRC) mulai 17 hingga 21 Ogos 2018, kata kenyataan rasmi Wisma Putra hari ini.

Kunjungan itu atas jemputan Perdana Menteri RRC, Li Keqiang dan Dr Mahathir dijadualkan akan melawat Beijing dan Hangzhou.

Di Beijing, suatu pertemuan antara Dr Mahathir dan Presiden RRC Xi Jin Ping akan berlangsung.

"Lawatan ini merupakan lawatan pertama perdana menteri ke RRC sejak menyandang jawatan tersebut pada Mei 2018. Perdana menteri telah mengadakan lawatan ke RRC sebanyak tujuh kali sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai perdana menteri Malaysia ke-empat dari tahun 1981 hingga 2003.

"Di Hangzhou, perdana menteri dijadualkan bertemu dengan pemimpin tempatan serta mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Korporat Kumpulan Alibaba dan Kumpulan Zhejiang Geely Holding.

"Manakala di Beijing, Dr Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Li Keqiang dan Presiden RRC Xi Jinping untuk membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama," kata Wisma Putra.

Menurut kenyataan kementerian luar negeri lagi, Dr Mahathir dan Li Keqiang akan menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MOU) selain turut mengadakan sesi dilog bersama pelabur dari RRC.

"MOU tersebut meliputi kerjasama dalam bidang pertanian dan agrikomoditi.

"Selain mesyuarat rasmi, perdana menteri akan turut mengadakan sesi dialog bersama usahawan terkemuka dan bakal pelabur dari RRC.

"Satu majlis makan malam bersama rakyat Malaysia juga telah direncanakan," kata kenyataan itu lagi.

Mercu tanda baru, mantap

Wisma Putra berkata lawatan ini penting untuk pengukuhan hubungan dua hala Malaysia dan China, sambil memetik republik itu merupakan rakan dagang utama negara selama sembilan tahun berturut-turut.

"Lawatan ini akan menjadi satu mercu tanda baru yang penting kepada pengukuhan hubungan dua hala di antara Malaysia dan RRC.

"Ia dijangka akan memacu hubungan yang lebih mantap di antara kedua-dua buah negara di masa hadapan, terutamanya dalam bidang politik, perdagangan, pelaburan, pertanian, teknologi dan keselamatan serantau.

"Selama sembilan tahun berturut-turut, RRC merupakan rakan dagang utama buat Malaysia.

"Pada tahun 2017, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan RRC mencecah RM290.65 billion (USD67.72 billion)," maklum kementerian luar negeri.

Selepas PRU14, China dilaporkan tidak berapa senang dengan tindakan penggantungan beberapa projek mega yang melibatkan kepentingan republik itu di negara ini, termasuklah projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan projek saluran paip gas oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER).

Perdana menteri akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ignatius Darell Leiking; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong; Menteri Pembangunan Usahawan, Tuan Mohd Redzuan Md. Yusof; Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Dato’ Azumu; dan pegawai kanan kerajaan.

Lihat Komen
ADS