Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘MCA pun lawan hudud, tapi...’
Diterbitkan:  Aug 20, 2018 4:32 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

PRK SERI SETIA | Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi penjelasan mengapa parti itu boleh bekerjasama dengan MCA walaupun komponen BN itu menentang hudud seperti DAP.

Baginya, MCA tidak pernah berada dalam satu gabungan dengan PAS, tidak seperti DAP ketika era Pakatan Rakyat.

"MCA tentang hudud, DAP tentang hudud.

"Tetapi DAP menentang ketika sama-sama dalam Pakatan (Rakyat), dalam satu gagasan. Mereka tak hormat (PAS) dan serang kita.

"MCA bukan dalam satu pakatan. Tak setuju tak setujulah, (tetapi) mereka tak serang seperti DAP," katanya pada sidang media yang disiarkan di Facebooknya, hari ini.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung kerjasama kedua-dua parti itu dalam PRK Seri Setia dan Balakong yang akan diadakan serentak 8 September ini.

Kerjasama parti pembangkang pasca-PRU ke-14 bermula dengan PRK Sungai Kandis beberapa minggu lalu, apabila PAS mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon dan memberi laluan kepada Datuk Lokman Noor Adam.

Pendekatan sama diambil Umno dalam PRK Seri Setia apabila mereka pula memberi laluan kepada PAS yang mencalonkan bekas Exco Selangor Dr Halimah Ali.

Selain MCA dan Umno, PAS juga mencapai persefahaman dengan MIC dalam satu pertemuan antara Hadi dan presiden parti itu, Tan Sri S A Vigneswaran di ibu pejabat PAS 19 Ogos lalu.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata kerjasama antara pembangkang itu, atau unity opposition (pembangkang perpaduan), akan terus meresahkan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Lihat Komen
ADS