Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas ADUN Seri Setia yakin PKR pertahan kerusi

PRK SERI SETIA | Bekas anggota dewan undangan negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yakin calon PKR akan mempertahankan kerusi yang pernah disandangnya itu dalam pilihan raya kecil (PRK) bulan depan meskipun PAS bekerjasama dengan Umno.

"Seri Setia kawasan lama saya jadi saya kenal. Memang ada sebahagian daripada mereka masih bersama dengan PAS, tetapi sebahagian daripada mereka mengundi Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum lepas.

"Jadi secara keseluruhan kita yakin untuk kerusi tersebut tetapi sudah tentu kita kena kerja kuat dan tak boleh ambil mudah," katanya kepada pemberita hari ini ketika menghadiri sambutan Aidiladha di PPR Kampung Air, Panas.

Selain itu, Nik Nazmi yang juga merupakan anggota parlimen Setiawangsa turut berkata berdasarkan pemerhatiannya, pemimpin akar umbi PAS dan Umno di Seri Setia tidak serasi.

"Saya rasa orang PAS tak beberapa gemar kepada MCA. Saya rasa di peringkat bawah benda itu masih sukar diterima. Di Seri Setia pun, saya tengok antara Umno dan PAS tak berapa serasi di bawah," katanya.

PRK Seri Setia akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PKR Halimey Abu Bakar dan calon PAS Dr Halimah Ali.

Awal hari ini, Malaysiakini memetik pemimpin Umno cawangan Ismail Ah sebagai berkata tiada permusuhan antara Umno dan PAS.

Bagaimanapun, sesetengah penyokong PAS tidak yakin dengan Umno yang dilihat cuba mendapatkan sokongan untuk kepentingan sendiri.

Hari pengundian PRK itu akan diadakan pada 8 Sept. Kerusi Seri Setia kosong setelah penyandangnya Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia 2 Ogos lalu.

Pada pilihan raya umum ke-14, Umno dan PAS meraih 14,441 undi berbanding PKR yang mendapat 29,250 undi daripada keseluruhan 52,650 undi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS