Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Halimey janjikan lebih banyak perpustakaan di Seri Setia

PRK SERI SETIA | Sejak lima bulan lalu, dewan orang ramai yang terbengkalai berhampiran projek perumahan di Kampung Lindungan bertukar menjadi tapak perpustakaan yang dibina menggunakan kontena.

Calon HARAPAN, Halimey Abu Bakar berkata sejak dua tahun lalu ketika beliau menjadi anggota majlis Petaling Jaya beliau telah membincangkan projek itu dengan bekas ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pada hari keenam berkempen, Halimey sewaktu melawat perpustakaan di Kampung Lindungan itu mendedahkan rancangan untuk membina lebih banyak kemudahan tersebut di Lembah Subang yang terletak di bawah pusat daerah mengundi Ara Damansara.

"Ini projek pertama seumpamanya di sini. Kami memiliki beberapa kemudahan termasuklah bilik mesyuarat, bilik solat, bilik perbincangan dan ruang jagaan kanak-kanak.

"Kami juga memiliki ruang lapang di luar yang mana pada waktu malam kami boleh buat tayangan filem," kata Halimey yang mendedahkan projek itu menelan belanja kira-kira RM700,000 dan didanai sepenuhnya oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Selain membaca buku, kanak-kanak di perpustakaan ini boleh meluangkan masa dengan permainan pendidikan dan permainan komputer tertentu.

"Dulu, ibu bapa tidak tahu ke mana anak-anak mereka pergi pada masa lapang," kata Halimey yang menjelaskan penduduk setempat juga terlibat dalam pengurusan perpustakaan.

Pusat tuisyen orang ramai

Pengurus perpustakaan, Asri Atan yang menemani Halimey dan rombongannya berkata kemudahan ini menjadi tempat berkumpul kanak-kanak selepas sekolah.

"Mereka terus datang ke sini selepas sekolah. Kadang-kadang 50, 60 kanak-kanak ke sini," katanya.

Sebelum pembukaan perpustakaan di situ, Asri yang menetap di kawasan tersebut lebih 25 tahun berkata dewan orang ramai yang terbengkalai itu pernah menjadi sasaran penagih dadah dan kegiatan merosakkan harta benda awam.

"Kami memang ada masalah sosial di kalangan anak muda. Ponteng, hisap rokok dan malah ada kes curi," akui beliau.

Selain menubuhkan satu lagi perpustakaan komuniti, Halimey turut mendedahkan rancangannya untuk menjadikan dewan orang ramai sebagai pusat tuisyen untuk orang ramai.

"Ini kerana kami sedar di rumah kos rendah, ruang terhad untuk kanak-kanak belajar dang mengulang kaji pelajaran.

"Bukan setakat kami ada rancangan untuk membuka lebih banyak perpustakaan atau pusat tuisyen, kami juga merancang pelbagai kegiatan dijalankan di sini, dengan panduan sukarelawan dan guru tuisyen," kata Halimey yang bertanding melawan calon PAS Dr Halimah Ali pada PRK 8 September ini.

Seramai 51,650 pengundi berdaftar dijangka akan mengundi pada pilihan raya kecil yang diadakan susulan ADUN penyandangnya Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS