Kementerian Pertahanan terbuka kepada siasatan terperinci pihak berkuasa ekoran pembabitan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Kementerian Pertahanan berkata pihaknya mengambil maklum polemik di kalangan orang awam mengenai kewajaran LTAT terbabit dalam pelaburan untuk AES.

Kementerian juga kata kenyataan itu memberi perhatian terhadap gesaan supaya siasatan dijalankan terhadap isu berkenaan.

"Kementerian Pertahanan sentiasa terbuka terhadap sebarang siasatan oleh pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang isu tadbir urus (governans) berkaitan pelaburan LTAT ini," katanya.

Kenyataan tersebut dibuat ekoran keputusan Kementerian Pengangkutan tidak lagi menyambung kontrak kepada LTAT untuk mengendalikan AES.

Kementerian Pertahanan berkata, konsesi yang diuruskan oleh LTAT berkuat kuasa mulai 14 Januari 2015 dan berakhir pada 31 Ogos ini.

Pengumuman mengenai langkah itu dibuat oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 17 Ogos lalu yang memutuskan agar operasi AES diambil alih sepenuhnya oleh kementerian terbabit melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut Kementerian Pertahanan, disebabkan LTAT mengeluarkan sejumlah besar pelaburan dalam pelaksanaan sistem tersebut, perbincangan lanjut akan diadakan bagi membincangkan isu-isu berbangkit termasuk dari aspek perundangan dan implikasi kewangan.

Bagaimanapun kata Kementerian Pertahanan kepentingan pencarum LTAT - yang terdiri daripada anggota tentera negara ini - akan tetap dipelihara walaupun kontrak tersebut tamat.

Pada Jumaa lalu Loke memberitahu kerajaan akan membayar semula RM555 juta kepada LTAT ekoran keputusan mengambil alih pelaksanaan operasi AES.

Katanya pembayaran tersebut akan dibuat secara berperingkat selepas proses rundingan antara LTAT, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan dijalankan.

“Kerajaan terdahulu arah LTAT guna dana yang dimiliki anggota tentera sebanyak RM555 juta untuk ambil alih selesaikan masalah (AES) ini.

“Nilai RM555 juta dibayar untuk 40 kamera, syarikat itu tidak ada aset lain.

"Jadi saya harap anggota tentera faham kerajaan dulu guna dana LTAT untuk bayar dua syarikat dan memang guna dana LTAT," katanya.

Sementara itu operasi berkaitan AES termasuk saman trafik akan dikendalikan oleh JPJ mulai 1 Sept ini.