Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AES: Kerajaan akan bayar balik RM555 juta pada LTAT

Putrajaya akan membayar balik RM555 juta kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mengambil alih operasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebelum ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pembayaran tersebut akan dibuat secara berperingkat selepas melalui proses rundingan dengan LTAT, Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Kewangan.

“Kerajaan terdahulu arah LTAT, iaitu guna dana yang dimiliki anggota tentera sebanyak RM555 juta untuk ambil alih selesai masalah ini.

“RM555 juta dibayar nilainya untuk 40 kamera, syarikat itu tidak ada aset lain, jadi saya harap anggota tentera faham kerajaan dulu guna dana LTAT untuk bayar dua syarikat dan memang guna dana LTAT.

“Dan kabinet hari ini atas semangat simpati dan kira kebajikan maka RM555 dibayar balik kepada LTAT secara berperingkat,” katanya dalam sidang media di Bangunan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.

Kerajaan BN sebelum ini melantik ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd untuk mengendalikan sistem AES.

Sementara itu, Loke berkata operasi kamera dan saman AES akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 September depan, dan ia akan dikuatkuasakan dengan tegas dan tiada lagi diskaun.

Katanya, langkah itu dilaksanakan selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dua syarikat konsesi pengendali sistem AES yang tamat pada 31 Ogos ini.

“Kerajaan setuju dan tak akan sambung dengan dua syarikat ini maka mulai 1 September 2018 semua sistem AES akan diambil alih oleh JPJ maksudnya operasi kamera, pengeluar sama semuanya JPJ,” katanya.

Lihat Komen
ADS