Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rahman Dahlan mahu selesai saman fitnah terhadap Rafizi

Bekas menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan melihat kebarangkalian untuk penyelesaian saman fitnah yang difailkannya terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Peguamnya Umi Farhanah Mohd Nasir menyatakan perkara itu susulan pengurusan kes hari ini.

Beliau juga berkata jika semua pihak gagal mencapai penyelesaian, pendengaran tiga hari yang dijadual bermula 3 September ini akan diteruskan.

Pengurusan kes dibuat di depan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Norfauzani Nordin.

Rafizi diwakili peguam Abdul Halim Abdul Karim.

Rahman yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno memfailkan saman terhadap Rafizi ekoran dakwaan beliau mengamalkan nepotisme dalam penganjuran Ekspo Negaraku 2017.

Rafizi mendakwa Rahman - ketika itu mengetuai Unit Perancang Ekonomi - memberikan projek bernilai RM37 juta kepada "abangnya" atas alasan pemilik syarikat itu mempunyai nama bapa yang sama dengannya.

Selepas penafian Rahman, Rafizi membuat permohonan maaf terbuka kepada kontraktor itu.

Dalam samannya, Rahman memohon injunksi terhadap Rafizi daripada mengulangi dakwaan itu serta membuat permohonan maaf.

Beliau juga meminta ganti rugi am, teruk, teladan, serta kos.

sementara itu, di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Majistret Umzarul An-Nur Umar menetapkan 25 September ini untuk memberikan keputusan sama ada Rafizi perlu membela diri atau tidak, atas pertuduhan fitnah jenayah terhadap Tabung Haji.

Rafizi didakwa berikutan hantaran Facebook bertajuk "Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015' dua tahun lalu.

Jika didapati bersalah, beliau boleh dihukum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-dua sekali.

Lihat Komen
ADS