DEWAN NEGARA l Seorang senator BN mengaitkan permainan popular ‘angry bird’ dalam memahami kesulitan yang dihadapi oleh kumpulan transgender di negara ini.

Senator Datuk Seri Khairudin ES Abd Samad berkata beliau berharap pentadbiran semasa akan menyelesaikan masalah kumpulan berkenaan.

Semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara, hari ini, senator itu meminta semua pihak supaya tidak terbawa-bawa dengan isu berkenaan. Sambil mengakui adalah janggal bagi beliau menggunakan tandas ketika pembersih wanita sedang menjalankan tugasnya, katanya, akan menjadi lebih janggal apabila seorang trasgender berdiri di sebelahnya.

“Cuba bayangkan itu, kita tengah berdiri di urinal bowl (mangkuk kencing) tak tahu di sebelah kita satu gadis berdiri di situ juga, buat kerja sama dengan kita.

“Bayangkan, apa hal dia kencing berdiri, jadi ini juga jadi masalah, maka mereka ini masuk di tempat perempuan , dia masuk (jerit) aiyo aiyo orang perempuan lari keluar,” katanya

Senator Umno itu berkata demikian ketika mengulas pertemuan antara aktivis transgender Nisha Ayub, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Mujahid Yusof Rawa dan timbalannya Fuziah Salleh di Putrajaya pada 10 Ogos.

Susulan pertemuan itu, Mujahid berkata golongan transgender meminta untuk tidak didiskrminasi masyarakat dan mendapat layanan saksama seperti rakyat lain.

Walaupun Khairudin tidak menawarkan sebarang penyelesaian, beliau berharap menteri berkenaan akan menyelesaikan beberapa isu, seperti tandas untuk kumpulan transgender.

“Jangan kita terbawa-bawa apa yang berlaku yang sebenarnya tidak, saya bersimpati, saya tak tahu, saya tak bincang dengan menteri, tetapi saya beranggapan bila transgender itu jumpa nak menyelesaikan masalah tandas, itu saja.

“Tandas ini bila dia masuk perempuan tak jerit dan dia masuk tempat lelaki jangan pula lelaki beratur pula...,” katanya.

Khairudin berkata faktor persekitaran mungkin menyebabkan kekeliruan jantina atau ketidakseimbangan hormon.

“Kita cerita masyarakat transgender supaya kita faham, rakyat di luar juga faham, masyarakat transgender ini kadang-kadang dilahirkan angry birdnya macam burung pipit, dia dilahirkan macam itu.

“Angry bird dia kecil, jadi dia ni, hormon perempuan lebih, bukan dia nak macam itu, tapi semulajadi.

“Jadi dia akhirnya dengan lenggok dia apa semua, tak tau apa jadi, saya bercerita panjang, orang ingat saya pula berkawan dengan dia orang,” katanya.

Menurut Khairuddin, ada kalanya, lelaki yang dibesarkan oleh wanita cenderung untuk menjadi lembut dan merujuk bagaimana beliau mendidik anak lelaki tunggalnya dalam sebuah keluarga yang mempunyai enam wanita.

“Kita beli kasut stoking, balik latih anak lelaki saya supaya dia menjadi jantan, tak payah minum kopi jantan dia jadi jantan.

“Ini sebab kita lihat contoh-contoh lain, bukan dia nak jadi pondan, tetapi dia dalam keluarga perempuan dia pun ikut masak, lipat baju, basuh baju, mak bersalin pergi tengok.

“Ini hakikat, kita kena terima hakikat, bukan manusia ini suka dia jadi apa yang dia jadi, kadang-kadang dia dijadikan macam itu oleh Allah...,” katanya.