Soi Lek dijangka buat kemunculan semula
PRK BALAKONG | Bekas Presiden MCA Tan Sri Dr Chua Soi Lek dijangka membuat penampilan pertamanya selepas menyepi sekian dalam daripada arena politik pada kempen pilihan raya kecil Balakong yang berbaki kurang 10 hari lagi.
Calon MCA bagi pilihan raya kecil berkenaan, Tan Chee Teong, ketika ditemui pemberita memberi bayangan berkenaan, walaupun tidak secara jelas mengesahkannya.
"Dia pun ada WhatsApp saya, dia pesan fight (lawan), dia mahu kami bertanding bersungguh-sungguh… dia akan turun berkempen sekiranya mempunyai masa, tak kira di mana," katanya pada sidang media, di Balakong hari ini.
Tan berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Dr Chua ada menghubunginya untuk menyatakan kesediaan turun membantu kempen sempena pilihan raya kecil itu.
Sebelum ini, media melaporkan pemimpin di peringkat akar umbi MCA Johor - juga pemimpin lain parti - mendesak supaya Dr Chua bertanding bagi jawatan tertinggi parti itu pada pemilihan 4 Nov ini.
Dr Cuba sebelum ini pernah menjadi ADUN Penggaram di Johor selama 18 tahun, selain pengerusi badan perhubungan MCA negeri berkenaan.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan akan berundur berikutan kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lepas.
Baca MCA sekarang berada di ICU, kata Soi Lek
Liow secara terbuka memberi sokongan kepada timbalannya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong - juga satu-satunya anggota parlimen MCA yang menang pada PRU ke-14 lalu - untuk menggantikan beliau.
Pada sidang media berkenaan turut kelihatan jentera MCA Johor turun membantu kempen Tan mulai hari ini.
Anak jati Balakong itu berhadapan dengan calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki.
PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas.
Pada PRU lalu Ng menewaskan calon BN Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.
- Bernama

