Isu tanah Orang Asli: Kelantan nak jumpa Suhakam dulu baru Pusat
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi membincangkan isu sekatan Orang Asli di Gua Musang.
Katanya langkah itu dibuat selepas rundingan kerajaan negeri dengan wakil komuniti terbabit gagal mencapai penyelesaian.
Malah kata Ahmad kerajaan Kelantan sudah memberikan tempoh masa yang lama kepada Orang Asli terbabit bagi mencari jalan tengah mengatasi kemelut tersebut.
Menurut beliau Kelantan juga bersedia bertemu dengan wakil kerajaan pusat, namun berpendapat ia hanya akan dilakukan selepas mereka mengadakan perbincangan dengan Suhakam.
“(Jumpa wakil kerajaan persekutuan) tak masalah, namun belum lagi ada perbincangan, kita jumpa Suhakam dulu, mereka akan terima baik pandangan kami," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad ditemui wartawan selepas menghadiri majlis Institut Dakwah Antarabangsa Perkim Kuala Lumpur.
Isu sekatan Orang Asli di Gua Musang sudah membelenggu kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu.
Baca Takiyuddin: Tanah dituntut Orang Asli milik kerajaan negeri
Komuniti setempat mendakwa kawasan yang akan diusahakan oleh pihak luar itu adalah milik mereka. Justeru Orang Asli mengadakan sekatan bagi menghalang sebarang kerja dilakukan di kawasan tersebut.
Pada masa sama syarikat yang diberi kebenaran oleh kerajaan negeri mengusahakan kawasan tersebut mendakwa mereka menjadi mangsa sekatan berkenaan.
Menurut Ahmad kerajaan negeri juga "tidak bertindak apa-apa" ke atas masyarakat Orang Asli tersebut sebaliknya mengikut keputusan mahkamah.
"Kita (kerajaan negeri) tidak pernah bertindak apa-apa, cuma kita sentiasa mengikut keputusan mahkamah baru-baru ini.
"Apa yang ditentukan oleh mahkamah sama dengan apa kita buat. Maknanya, kita (ada) beri tanah untuk dia (masyarakat Orang Asli) usahakan dengan tanaman dan tapak rumah.
"Kawasan yang menimbulkan masalah (dipertikaikan) telah dijadikan kawasan perlindungan," katanya.

