Menteri: laporan akhir kes gangguan seksual doktor pelatih dihantar minggu depan
Jawatankuasa siasatan bebas berkenaan isu gangguan seksual terhadap pegawai perubatan siswazah oleh ketua jabatan sebuah hospital akan menghantar dapatannya kepada Kementerian Kesihatan minggu depan.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkembangan itu diharap dapat mengurangkan kebimbangan orang ramai berhubung isu itu.
"Saya telah mendapat sedikit penerangan berhubung (status) inkuiri awam kes gangguan seksual itu.
"Apa yang paling penting adalah sya menantikan cadangan (laporan akhir) daripada jawatankuasa siasatan bebas berkenaan tindakan yang perlu diambil serta mengawal (agar) kes-kes seperti ini tidak berulang," katanya ketika sidang media hari ini.
Beliau berkata laporan akhir itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.
Pada 29 Julai lalu, muka depan akhbar The Star bertajuk "A sex predator is in the house" melaporkan ketua jabatan ortopedik di sebuah hospital kerajaan di Lembah Klang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pegawai perubatan bawah seliaannya.
Kementerian kesihatan kemudian menggesa semua mangsa gangguan seksual di tempat kerja membuat laporan secara terus ke emel Dzulkefly.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.