'Lapor ke SPRM jika betul ada rasuah dalam HSR'
Berbanding mengeluarkan kenyataan semata-mata, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu melaporkan rasuah dalam projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HSR) yang didakwanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Bekas menteri di jabatan perdana menteri itu berkata, ini kerana dakwaan itu sangat serius memandangkan HSR adalah projek yang turut dipantau kerajaan Singapura.
"Berhenti cakap mengarut. Jika ada unsur rasuah, dedahkan saja. Jangan bermain kata-kata untuk menutup ketidakcekapan kerajaan anda.
"Projek HSR adalah (melalui) tender terbuka antarabangsa, dipantau pihak berkuasa Malaysia dan Singapura. Dakwaan rasuah adalah sangat serius, Azmin perlu buat laporan kepada SPRM dengan segera," katanya di Twitter.
Stop talking nonsense. If there are corrupt elements, just expose them. Don’t play with words to hide your government’s incompetencies. —> Azmin: HSR price inflated by ‘many corrupt elements’ https://t.co/b1bl5BpC7g
— Abdul Rahman Dahlan (@DARDOfficial) September 8, 2018
Beliau turut mengongsikan laporan Malaysiakini yang memetik Azmin sebagai berkata, kos HSR melambung sehingga RM120 bilion kerana ia "banyak unsur rasuah".
Azmin juga berkata kos tersebut akan berkurangan apabila projek itu disambung semula pada masa akan datang.
Pada 5 September lalu, Malaysia dan Singapura setuju untuk menangguhkan projek itu selama dua tahun, iaitu sehingga Mei 2020.
Menurut persetujuan itu, Malaysia perlu membayar kos abortif atau kos terbantut sebanyak S$15 juta (RM45.1 juta) kepada kerajaan Singapura yang perlu dijelaskan pada atau sebelum 31 Januari 2019.

