'Pakatan pilihan raya Umno, PAS telah gagal'
Bekas Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun menyifatkan kerjasama antara Umno dengan PAS gagal menarik sokongan pengundi seperti yang dapat dilihat dalam tiga pilihan raya kecil mutakhir ini.
Beliau yang juga senator berkata, faktor kos sara hidup yang kekal tinggi, pelaksaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan pencapaian menteri yang tidak baik gagal membantu kemenangan pembangkang.
"Kita tetap kalah. Peratusan pengundi rendah sepatutnya membantu kita. Bertahun lamanya kita bergantung kepada jentera parti. Mereka bekerja keras tetapi sekali lagi tidak berjaya.
"Tetapi apa yang lebih penting, pakatan pilihan raya Umno-PAS ini tidak berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selepas PRU ke-14, sudah tiga PRK diadakan - Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia - dan kesemuanya berjaya dipertahankan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Sungai Kandis menampilkan calon Umno manakala PAS di Seri Setia. Kedua-dua parti saling membantu sepanjang tempoh kempen dua PRK itu.
HARAPAN berjaya meningkatkan peratusan undinya di Sungai Kandis dan Balakong, namun ia merosot sebanyak lapan peratus di Seri Setia.
Khairul Azwan berkata lagi, rakyat menolak pembangkang yang hanya menumpukan soal Melayu dan Islam.
"Umno menang pilihan raya pada masa lalu bukan dengan cara itu. Kita perlu kembali kepada jalan tengah dan sederhana kita, yang telah membuatkan kita dihormati - bukan ditakuti - oleh orang bukan Melayu," katanya yang tewas dalam persaingan jawatan ketua pemuda pada pemilihan Umno yang lalu.
Beliau berkata Umno boleh bekerjasama dengan PAS dalam soal dasar dan isu yang dipersetujui bersama, tetapi perlu kekal dengan ideologinya.
"Identiti Umno berbeza, kita ditubuhkan atas prinsip sederhana dan kerjasama, bukan oleh politik kanan," katanya lagi.
Pandangan Khairul Azwan agak berbeza dengan pemimpin Umno lain yang dilihat akan terus mengeratkan hubungan dengan PAS, termasuk presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata akan hadir ke muktamar PAS bulan ini.
Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa pula berkata keputusan PRK menunjukkan orang Melayu menunjukkan "tahap kepedulian yang tinggi" untuk mengundi pembangkang.

