Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Shafie Salleh berkata, beliau tidak boleh campurtangan dalam tindakan disiplin yang diambil oleh institusi pengajian tinggi awam terhadap para pelajar mereka.

"Saya tidak mempunyai kuasa untuk menasihatkan pihak berkuasa universiti. Di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), ia terpulang kepada universiti berkenaan untuk bertindak.

"Menteri hanya campurtangan apabila para pelajar membuat rayuan. Saya ini ibarat sebuah mahkamah rayuan sahaja," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau mengulas tindakan Kaukus Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia yang meminta Menteri Pengajian Tinggi campurtangan menyelesaikan tindakan yang diambil pihak universiti terhadap pelajar yang memulau pilihanraya kampus baru-baru ini.

Shafie berkata, universiti mengambil tindakan melalui peruntukan Auku dan para pelajar boleh merayu mengikut saluran yang ditetapkan.

"Peringkat terakhir ialah ke pejabat menteri. Saya tidak boleh campurtangan di peringkat ini. Jika saya berbuat demikian, saya melanggar undang-undang," katanya.

Universiti Pendidikan

Shafie juga memberitahu, cadangan membina sebuah Universiti Penyelidik untuk mempertingkat kemahiran dan mutu tenaga pengajar universiti negara ini, akan dilaksanakan tahun depan.

Katanya, pembinaan universiti itu menelan belanja RM2 bilion dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

"Kerajaan sudah meluluskan pembinaan Universiti Penyelidik, dan kementerian sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengiktiraf lulusan universiti berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, kementerian berkenaan akan memperkenalkan Rangka-kerja Kelayakan Malaysia (MQF) yang dibuat bersama kerajaan dan swasta untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.

"Banyak negara sudah buat konsep MQF, seperti Amerika Syarikat, New Zealand dan Australia. Dalam MQF, mutu pendidikan antara institusi pengajian awam dan swasta menjadi setanding," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menemui semua universiti mulai tahun depan untuk menerangkan mengenai MQF.