Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tok Batin saksi MB Pahang beri RM17,500 untuk 6 kampung

Tok Batin berumur 50 tahun dari Kampung Labu hari ini memberitahu Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur bahawa dia melihat sendiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi wang untuk diagihkan kepada Tok Batin dari enam kampung.

Jelasnya, wang berjumlah RM17,500 itu diberikan kepada jentera pilihan raya BN untuk diagihkan kepada beberapa Tok Batin yang kemudiannya akan mengagihkan kepada Orang Asli di kampung masing-masing.

Yahya a/l Pengsan, yang merupakan Tok Batin Kampung Labu berkata dia dan Tok Batin Kampung Bukit Long, Kampung Tigol, Kampung Tidol, ​Kampung Saweh, serta Kampung Cherong dijemput ke sebuah bilik di Pos Sindrot Pada 6 Mei.

"Kedua-dua calon BN, Wan Rosdi (bagi ADUN Jelai) dan C Sivarraajh (bagi parlimen Cameron Highlands) jemput Tok Batin dalam satu bilik.

"Di sana saya melihat sendiri Wan Rosdy beri RM17,500 kepada jentera BN dan wang itu kemudian diagihkan kepada enam Tok Batin termasuk saya sendiri," katanya.

Selepas perbincangan ringkas pada 7 Mei, jelas Yahya, dia menerima RM1,600 untuk diagihkan kepada penduduk kampung dengan setiap seorang menerima RM33.

Saksi itu berkata terdapat 48 penduduk di Kampung Labu yang merupakan pengundi dan mereka termasuk dirinya sendiri serta isterinya menerima RM33 selepas membuang undi pada 9 Mei lalu.

Terdapat kira-kira 1,200 pengundi di Pos Sindrot.

Saksi itu berkata demikian sebagai menjawab soalan peguam K Shanmuga yang mewakili calon DAP Cameron Highlands M Manogaran yang mahu membatalkan kemenangan Sivarraajh dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Wan Rosdy dipilih sebagai menteri besar Pahang selepas PRU.

Ditanya sama ada wang itu diberikan bagi memastikan kemenagan Wan Rosdy di Jelain, Yahya, yang merupakan saksi keenam perbicaraan mengeyakan perkara itu.

Dia bagaimanapun bersetuju bahawa Wan Rosdy pernah menolong komuniti Orang Asli kawasannya sebelum kempen pilihan raya.

Namun, jelas Yahya, sejak 2016 dia dan penduduk kampungnya tidak pernah meminta peruntukan tambahan.

Yahya turut memaklumkan bahawa Wan Rosdy pernah memberi bantuan wang tunai RM5,000 kepada keluarga Orang Asli yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran.

Selain itu, Yahya menambah bahawa Manogaran pula pernah memberi bantuan dalam bentuk pakaian dan makanan kepada mangsa kebakaran.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS