Gopal Sri Ram terajui pasukan pendakwaan ke atas Shafee
Pejabat Peguam Negara dilaporkan telah melantik bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes terhadap peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Sri Ram dibawa oleh Jabatan Peguam Negara secara pro bono (tanpa bayaran) lewat bulan lalu untuk membantu pendakwaan berhubung kes berkaitan 1MDB.
SPRM menahan Muhammad Shafee di lapangan terbang Subang pada jam 6 pagi tadi. Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Muhammad Shafee, 66, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul tanpa menyatakan jumlah RM9.5 juta dalam penyata cukainya yang bertentangan dengan Akta Cukai Pendapatan 1967.
Beliau juga adalah peguam bela bagi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang sedang berdepan perbicaraan atas dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah.

