Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS sah tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dan akan memberi laluan kepada Umno untuk bertanding menentang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Harian PAS Pusat di Kuala Terengganu dan dipengerusikan oleh presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana PAS merasakan PRK yang sengaja ‘dicipta’ itu bukanlah suatu amalam demokrasi yang baik, malah langkah itu menyebabkan pembaziran wang awam dan masa serta mengikis minat rakyat untuk keluar membuang undi.

“Parlimen Port Dickson juga bukanlah kawasan yang berpotensi untuk PAS meletakkan calon,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, sehubungan dengan itu, PAS turut memutuskan akan memberikan sokongan kepada mana-mana parti pembangkang lain yang berhasrat meletakkan calon sama ada Umno ataupun MIC.

“Ini juga selaras dengan semangat solidariti parti-parti pembangkang untuk menambahkan bilangan Ahli Parlimen pembangkang dalam rangka mewujudkan proses semak dan imbang terhadap parti pemerintah,” katanya.

Awal hari ini, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed mengesahkan bahawa PAS akan memberi laluan kepada Umno untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickso.

Beliau berkata parti itu mengadakan mesyuarat semalam dan membuat keputusan untuk menyokong Umno.

“Saya ingat semalam telah binncang mengenai PRK di PD, maknanya kita bagi laluan pada Umno untuk bertanding.

“Kita lebih suka kalau bertanding satu lawan satu... kita akan bg sokongan seperti Umno dah beri sokongan pada PAS di Seri Setia.

“Semalam (diputuskan) PAS takkan bertanding. Pasal kita beri laluan pada Umno,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan muktamar sayap ulama di Kuala Terengganu hari ini.

Timbalannya, Datuk Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata parti-parti pembangkang termasuk di Sabah dan Sarawak juga mencapai persefahaman supaya hanya satu parti bertanding menentang calon Pakatan Harapan pada mana-mana pilihan raya kecil akan datang.

“Ya, keputusan parti- parti pembangkang hari ini dah dapat satu benda yang boleh kita bekerjasama iaitu parti-parti pembangkang kita bentuk kekuatan yang ada termasuk di Sabah dan Sarawak. Makna kita dah berjaya di tahap itu.

“Dalam erti kata lain mana-mana kawasan berlaku pilihan raya, yang bertanding parti dari pembangkang satu saja,” katanya.

Menurut Muhammad Zawawi, meskipun persetujuan itu tidak mengikat secara undang-undang, persefahaman antara parti sudah berlaku.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob dipetik sebagai berkata parti itu untuk bersedia membantu BN atas semangat kerjasama sesama pembangkang bagi menentang Anwar di Port Dickson.

Namun, katanya, setakat ini PAS belum membuat sebarang ketetapan sama ada akan bertanding di kerusi itu. Beliau berkata, sekiranya pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan Pakatan Harapan, pihaknya tiada masalah untuk membantu BN dan Umno.

“Keputusan untuk hantar calon perlu tunggu pimpinan tertinggi dan kita pun selepas ini ada muktamar untuk bincang.

“(Tetapi) atas semangat blok pembangkang kita akan bantu BN dan Umno,” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia Online selepas Majlis Amanat Khas Menteri Besar Kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri di Kota Bharu, hari ini.

Semalam, penyandang kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan peletakan jawatan serta merta bagi memberi laluan kepada Anwar memulakan langkah sebagai Perdana Menteri ke 8.

Lihat Komen
ADS