Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafee: Dakwaan terhadap saya karut, bermotif politik

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata empat pertuduhan terhadapnya adalah mengarut dan bermotif politik.

Shafee didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan menerima dua pembayaran berasingan berjumlah RM9.5 juta daripada perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Shafee juga akan berdepan dua tuduhan melanggar Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tidak memasukkan pendapatan yang diterima daripada Najib dalam penyata kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"Bagi saya keempat-empat pertuduhan ini adalah karut. Sebabnya pokok atau inti pertuduhan ini ialah sama ada saya tahu duit atau dana RM4.3 juta dan RM5.2 juta asalnya dari sumber-sumber yang haram.

"Jadi mereka harus membuktikan bahawa bukan saja duit ini datang daripada sumber yang haram, tapi (membuktikan) saya juga tahu perkara ini," katanya dalam sidang media di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Shafee berkata, sekiranya pendakwaraya tidak dapat membuktikan beliau maklum bahawa sumber yang diterima daripada Najib adalah haram, semua empat tuduhan akan digugurkan.


PANDUAN KINI: Panduan pertuduhan terhadap Shafee


"Jika saya tanya anda pada 2013 atau 2014 jika pernah dengar tentang 1MDB atau SRC, anda semua akan kata tidak. Jadi (seperti anda juga ketika itu) bagaimana saya tahu ada hal tentang 1MDB atau SRC?" katanya.

Shafee berkata beliau dapat merasakan bahawa dakwaan itu sengaja dikenakan ke atasnya oleh pihak tertentu.

"Yang jelas ada pertikaian berhubung Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau mahu terlepas dari pensabitan di mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan dalam kes Liwat 2.

"Beliau cuba berhujah bahawa, kerana saya menerima RM9.5 juta, yang didakwa sebagai ganjaran dari pendakwaan Liwat 2, perbicaraan Anwar tidak adil.

"Saya tidak melakukan pendakwaan kes itu. Saya tidak kendalikan kes itu. Saya cuba kendalikan rayuan (kes). Ada rekod. Saya hanya mengambil rekod dan persoal. Saya tidak boleh wujudkan bukti, saya tidak boleh jadikan bukti lebih kukuh dan sebagainya. Jadi bagaimana saya boleh pengaruhi kes itu?" katanya.

Shafee juga mendakwa bahawa terdapat pihak di Pejabat Peguam Negara mahu menyingkirkannya dari pasukan peguambela Najib.

"Terdapat pihak di Pejabat Peguam Negara termasuk mereka yang sementara di Pejabat Peguam Negara yang mahu saya disingkirkan daripada barisan peguambela Najib.

"Pasukan peguambela kami agak baik. Jadi mungkin, mereka bimbang. Ia bermotif politik, tak ada asas," katanya.

Lihat Komen
ADS