Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anggota CEP kini bantu kerajaan secara individu, kata Jomo

Walaupun anggota Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) sudah pun kembali kepada tugas peribadi masing-masing, mereka tetap membantu kepada kerajaan atas kapasiti individu, kata anggotanya Jomo Kwame Sundaram.

"Tun Daim (Zainuddin) kini meneruskan tugasnya untuk bantu kerajaan, terutama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya percaya anggota lain juga begitu dalam beberapa perkara tertentu. Kita berusaha secara sendirian," katanya yang juga seorang pakar ekonomi.

Beliau menjawab soalan pemberita selepas melancarkan buku Till Debt do Us Part - The Growth of the Global Banking Industry and Its Insidious Effects oleh Mohd Nazari Ismail di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 11 September lalu, Daim yang merupakan pengerusi CEP berkata anggota badan itu sudah "kembali melakukan urusan kerja masing-masing" selepas tamatnya tempoh 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN).

Daim bagaimanapun tidak mengulas lanjut perkara itu ketika ditanya sama ada mereka masih mengadakan mesyuarat.

CEP yang diwujudkan sebaik selepas Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri berperanan membantu HARAPAN dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.

Namun Mahathir pernah berkata beliau masih memerlukan majlis itu melangkaui tempoh 100 hari pentadbiran.

Sepanjang 100 hari, CEP mewawancara kira-kira 350 individu daripada 200 organisasi - kebanyakannya badan kerajaan atau GLC - untuk membantu merumuskan laporan mengenai dasar ekonomi dan kewangan bagi perdana menteri.

Selain Daim dan Jomo, turut menganggotainya adalah bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, dan hartawan Tan Sri Robert Kuok.

Lihat Komen
ADS