Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bapa murid SJKT kecewa cara timb menteri tangani kes dera anaknya

Bapa kepada seorang murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Keruh di Pengkalan Hulu, Perak, mendakwa Timbalan menteri Pendidikan Teo Nie Ching memberi jawapan tidak bertanggungjawab berkenaan kes anaknya yang didakwa didera secara fizikal dan seksual oleh seorang guru sekolah itu.

Beliau mendakwa Teo hanya berkata kementerian tiada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pihak sekolah, dalam satu pertemuan di pejabatnya pada 27 Ogos lalu.

"Jawapan itu sama seperti pentadbiran lalu, apabila sekolah sentiasa diselamatkan jika ada kes dera. Saya sangat kecewa dengan jawapan timbalan menteri yang berkata pihaknya tiada kuasa untuk mengambil tindakan.

"Anak saya sudah 75 hari tidak ke sekolah, tetapi kementerian masih tidak menunjukkan perkembangan berhubung aduan kami," kata S Suresan kepada Malaysiakini.

Pada 7 Ogos lalu, Pejabat Penyelaras BN bagi Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu dilaporkan menerima aduan daripada wakil pelajar berhubung dakwaan salah laku guru terhadap murid sehingga ada yang tidak berani hadir ke sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Perak Prof Dr Abdul Aziz Bari pula berkata beliau difahamkan yang ibu bapa pelajar itu tidak mahu memberi kerjasama kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak apabila diminta berjumpa dengan mereka, membangkitkan kemarahan bapa terbabit.

Pihak sekolah enggan mengulas perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini atas sebab ia dalam siasatan kementerian pendidikan.

Ketika pertemuan dengan Teo (gambar), kata Suresan, beliau hanya diberi masa selama lima minit untuk menjelaskan kes yang dihadapi anaknya.

"Kemudian beliau terus berkata kementerian tiada kuasa untuk menghukum sekolah. Jika kementerian tiada kuasa, siapa lagi?" soalnya.

Beliau mendakwa kementerian telah menghantar surat kepada Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia berhubung kes itu pada 27 Julai lalu, tetapi sehingga kini tiada perkembangan lanjut mengenainya.

Beliau juga mendakwa seorang pegawai khas Teo telah bertindak biadab terhadapnya, termasuk meletakkan telefon selepas beliau mempersoalkan cara kementerian pendidikan menangani kes itu.

"Ketika saya bertanya tentang soal tindakan tatatertib terhadap sekolah, memandangkan polis hanya akan menyiasat aspek jenayah, dia terus meletakkan telefon tanpa menjawab soalan," katanya lagi.

'50 minit, bukan lima minit'

Dalam pada itu, pejabat Timbalan Menteri Pendidikan dalam satu kenyataan dengan tegas menafikan dakwaan Suresan.

"Timbalan menteri bersimpati dengan pihak ibu bapa dan mengutamakan keselamatan anak-anak di sekolah. Beliau telah meluangkan masa selama 50 minit untuk bertemu Suresan walaupun tanpa temu janji.

"Timbalan menteri telah meneliti sendiri semua laporan polis dan mengarahkan kementerian membuat siasatan baru yang menyeluruh," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menjelaskan maksud Teo berkenaan "tiada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap sekolah".

"Timbalan menteri tak boleh bertindak tanpa siasatan yang konkrit, dan tindakan harus diambil oleh jabatan berkaitan, iaitu Bahagian Pengurusan Sekolah Harian.

"selepas diarahkan timbalan menteri, siasatan baru telah dimulakan oleh unit integriti kementerian pada 28 Ogos lalu dan sedang berjalan. Kementerian akan mengambil tindakan sepatutnya berdasarkan keputusan siasatan," kata kenyataan itu lagi.

Lihat Komen
ADS