Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan mahkamah membebaskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah.

"Ada kritikan tetapi seperti yang anda ketahui kerajaan sebelum ini telah memangsakan semua pembangkang (pada masa itu).

"Ada ramai orang buat seperti apa yang dilakukan Lim tapi mereka tidak dipilih.

"Mereka pilih Lim untuk tujuan tertentu, untuk menyingkirkannya," kata Mahathir kepada pemberita selepas ucaptama pada Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (Cepsi) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Mahathir juga berkata kes Lim tidak sama dengan kes melibatkan bekas menteri besar Selangor Khir Toyo pada 2015.

Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad sebelum ini menyamakan kes Lim dengan Khir.

Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan sepenuhnya Lim pada 3 Sept lalu walaupun timbalan pendakwa raya memohon mahkamah agar tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan.

Pada tahun 2015, Khir dijatuhi hukuman 12 bulan penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya kerana menerima dua lot tanah di Shah Alam bernilai RM3.5 juta untuk dirinya dan isteri.

Noraini, ketika membandingkan kes itu dengan kes Lim mempersoalkan mengapa kes Khir didengar sepenuhnya, yang kemudian mengakibatkan bekas pemimpin Umno itu disabitkan bersalah, manakala kes Lim digugurkan oleh pihak pendakwaan walaupun bukti belum didengar di mahkamah.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, menyatakan kes Lim dengan Khir sebagai "jauh panggang daripada api"