Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas 73 mati, timbalan gabenor gesa Indonesia tangguh hantar pekerja ke M'sia

Timbalan Gabenor Nusa Tenggara Timur, Indonesia, Josef Nae Soi menggesa moratorium bagi menggantung sementara menghantar pekerja dari wilayah itu ke Malaysia, lapor agensi berita Antara.

"Moratorium pengiriman TKI (tenaga kerja Indonesia) asal NTT (Nusa Tenggara Timur) untuk bekerja di Malaysia perlu segera dilaksanakan, kerana sudah sangat mendesak dan tidak boleh main-main lagi," kata beliau hari ini.

Josef membuat gesaan tersebut sebagai maklum balas kematian pekerja dari Nusa Tenggara Timur.

Antara melaporkan sepanjang lapan bulan pertama tahun ini, seramai 73 pekerja Indonesia dari bandar Kupang meninggal dunia di Malaysia dan jenazah mereka telah dihantar pulang ke negara asalnya.

Josef juga berkata pentadbiran wilayah itu akan menghantar pasukan ke Malaysia bagi merekodkan kesemua pekerja Indonesia dari Nusa Tenggara Timur di negara ini.

Malaysiakini telah menghubungi Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran bagi mendapatkan maklum balas mengenai moratorium tersebut.

Ketika dihubungi, Pengarah Eksekutif NGO hak migran Tenaganita, Glorene A Das berkata moratorium memang diperlukan pada masa ini dan penyelesaian jangka panjang mengenai masalah tersebut perlu dicapai antara kedua-dua kerajaan.

"Apa yang kita perlukan adalah perjanjian dua hala dengan terma dan syarat mengikat mengenai pengambilan, penempatan dan jenis pekerjaan untuk pekerja asing," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya jika para pekerja dari Nusa Tenggara Timur lebih terdedah dengan eksploitasi berbanding bahagian lain dari Indonesia, Glorene berkata semua pekerja dari negara itu terdedah kepada eksploitasi.

"Tapi berdasarkan pengalaman kami mengendalikan berbagai kes, ramai pekerja dari Nusa Tenggara Timur yang meninggal dunia tidak didokumentasikan.

"Orang-orang ini miskin, jadi mereka terdedah untuk dibujuk sindiket pemerdagangan manusia," jelasnya lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS