Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa mengesahkan sehingga kini hanya dua pemimpin Umno sahaja yang keluar daripada parti itu.

Katanya, beliau sudah menerima faks surat keluar parti daripada bekas menteri luar Datuk Seri Anifah Aman dan menunggu surat rasmi daripada Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Kedua-dua ini bukan perkara yang mengejutkan kerana kita tahu dua-dua (pemimpin ini) ada permasalahan tersendiri.

"Anifah dalam konteks politik di Sabah, Mustapa pula dalam konteks masalah yang hanya dia boleh beri penjelasan dan orang lain tidak terlibat," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Anggota parlimen Ketereh itu juga berkata beliau sudah menghantar pesanan ringkas kepada Mustapa bertanyakan mengenai kenyataan media yang dibuat dan Umno menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

"Saya ada teks dengan Mustapa untuk mengesahkan kepada saya sebagai setiausaha agung, supaya kita dapat keluarkan surat pada mereka, menyatakan pada mereka bahawa kita tidak ada halangan, kita ucapkan selamat maju jaya," katanya.

Annuar menambah bahawa dalam politik segalanya tidak dapat dijangka.

"Dalam politik kita tahu perkembangan tertentu, yang berlaku, siapa hadapi masalah. Setakat ini kawan-kawan yang meninggalkan parti, sedikit sebanyak kita tahu masalah yang mereka hadapi," katanya.

Annuar turut menafikan senarai 18 wakil rakyat Umno yang akan keluar parti tular di medal sosial.

"Anggota parlimen adakan perbincangan yang agak panjang lebar, khabar angin ada banyak keluar senarai. Banyak (pihak) yang hubungi kita, dan kita juga hubungi sesama kita, jadi khabar angin itu tidak benar," katanya.

Annuar bagaimanapun tidak boleh memberi jaminan sekiranya akan ada pemimpin Umno yang akan keluar parti lagi selepas ini memadangkan parti itu tidak meletakkan sebarang ikatan kepada ahli parti.

"Kita tidak kata tidak ada (yang akan keluar parti selepas ini), mungkin ada yang masuk dan keluar. Pada kita, kita anggap perkara biasa kerana Umno satu-satunya parti tidak mengikat ahli parlimen dengan sebarang ikatan.

"Ada yang bersumpah taklik, talak isteri, kita tahu itu berlaku.

"Tapi dalam Umno saya menegaskan tidak ada sebarang ikatan kepada kita punya anggota parlimen dan wakil rakyat, sebab hendak berkhidmat pada rakyat mesti jujur dan ikhlas, mesti ada pendirian masing-masing," katanya.

Lihat Komen
ADS