Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada tindakan ke atas Nazri selagi Umno tak umum tanding di PD'

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini tiada tindakan disiplin yang akan dikenakan ke atas Anggota Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz yang menyatakan hasrat mahu berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Ini kerana, jelas Annuar, Umno masih belum mengumumkan akan bertanding PRK itu.

Namun, tambahnya, sekiranya parti itu sudah membuat keputusan bertanding, anggota parti yang berkempen untuk calon parti lawan dianggap melanggar peraturan.

“Jadi, kita anggapkan kenyataan (Nazri) itu kenyataan peribadinya. Tidak menyalahi peraturan parti kerana parti belum buat apa-apa keputusan.

"Lainlah kalau parti sudah buat keputusan, letak calon, kemudian kita kempen untuk calon parti lawan, maka itu salah.

“Sekarang ini masih boleh, jadi bila (Umno) dah umum calon tidak boleh (berkempen untuk Anwar), itu menjadi peraturan parti,” katanya kepada pemberita di PWTC, hari ini.

Annuar memaklumkan bahawa pihaknya akan bermesyuarat berkaitan PRK Port Dickson 24 September ini.

Anggota parlimen Ketereh itu merujuk kenyataan Nazri pada 13 Sept lalu yang menyatakan hasrat berkempen untuk Anwar kerana menurutnya ia adalah langkah "terbaik untuk Umno" bagi memastikan parti itu kembali ke dalam kerajaan.

Selain Nazri, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos turut dilaporkan mahu berkempen untuk Anwar.

Kerusi Port Dickson sebelum ini dikosongkan oleh penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dan kembali ke parlimen sekiranya menang PRK itu.

Bagaimanapun, sehingga kini, belum ada calon dari parti lain yang menyatakan hasrat untuk mencabar Anwar di kerusi berkenaan.

Lihat Komen
ADS