PRK PORT DICKSON | Kritikan Menteri Kewangan Lim Guan Eng terhadap Umno kerana tidak bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson mengundang rasa terkejut naib presiden parti itu, Datuk Seri Mahadzir Khalid.

"Menjadi tanda tanya kepada saya, mengapa Lim Guan Eng begitu marah kerana Umno tidak mahu bertanding? Apakah beliau tidak mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-8?" soal Anggota Padang Terap itu.

Beliau mengulas wawancara Malaysiakini dengan menteri kewangan itu yang mendakwa keputusan Umno tidak meletakkan calon menunjukkan parti itu berjuangan untuk mendapat kuasa dan bukan kerana prinsip.

Menurut Mahadzir, Lim yang juga setiausaha agung DAP sepatutnya menjadi orang paling gembira kerana Anwar diberi laluan mudah untuk menang di kerusi itu.

Tambahnya, keputusan Umno juga boleh dilihat sebagai usaha membantu Pakatan Harapan (HARAPAN) mengotakan salah satu janji manifesto pilihan raya mereka.

“Pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dua tahun selepas HARAPAN memerintah adalah sebahagian daripada manifesto mereka. Banyak janji manifesto mereka tidak dapat ditunaikan.”

“Sekurang-kurangnya mereka tidak akan menyalahkan Umno jika mahu memungkiri janji manifesto yang satu ini," katanya seperti dilapor Umno Online.

Mahadzir berkata Umno membuat keputusan untuk tidak bertanding di Port Dickson kerana menganggap ia merupakan agenda politik HARAPAN dan bukannya untuk kepentingan rakyat.

"Rakyat pasti tertanya-tanya mengapa Lim Guan Eng tidak mahu Anwar Ibrahim mendapat laluan mudah. Apakah DAP ada agenda lain yang bertentangan dengan kehendak Anwar Ibrahim?” soal beliau.

Sebelum ini, presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tidak akan menentang Anwar kerana menganggap PRK berkenaan tidak perlu diadakan dan membazirkan wang rakyat.

PRK Port Dickson akan diadakan pada 13 Okt selepas penyandang kerusi berkenaan Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke parlimen.