Sempena Perhimpunan Agung Umno yang bermula hari ini, bekas presidennya Datuk Seri Najib Razak berpesan agar pemimpin dan anggota parti menjadikan acara itu sebagai peluang untuk Umno "bangkit semula dari abu".

Menyifatkan perhimpunan kali ini sebagai jauh berbeza berbanding sebelumnya, Najib berkata ia harus digunakan untuk Umno menilai kembali asas perjuangan parti itu.

"...Dan untuk kita mengenal siapa di kalangan kita yang benar-benar sayang dan cintakan parti dan yang mana hanya bersama untuk kepentingan sendiri.

"Umno kini di persimpangan...Ia memang pahit untuk ditelan, tetapi dari satu sudut lain ini peluang untuk Umno bangkit semula dari abu," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Ini merupakan perhimpunan pertama Umno sebagai pembangkang, dan dipendekkan selama tiga hari saja dan tidak lagi disiarkan secara langsung di televisyen kerajaan.

Ia juga boleh dikatakan bermula dengan suasana yang agak suram apabila dua pemimpin kanannya, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman bertindak keluar parti kira-kiras seminggu sebelumnya.

Bekas perdana menteri itu berkata kini masanya seluruh anggota bersatu padu demi Umno bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita berdebat, bermusyawarah, menyuarakan pandangan, semuanya tak jadi masalah. Asalkan matlamatnya serupa iaitu demi parti yang kita cintai. Di saat ini, lebih daripada segala-galanya, untuk kita berpadu tenaga demi Umno.

"Saya yakin Umno yang dipimpin Zahid akan berjaya mengharungi segala rintangan dan bangkit berjuang semula untuk bangsa, agama dan negara," katanya lagi.

Katanya, penubuhan kabinet bayangan pada 26 September lalu membuktikan Umno masih lagi berwibawa dan mampu menawarkan kepimpinan kepada rakyat Malaysia.

Dalam perhimpunan ini, Zahid dijangka akan membentangkan strategi dan hala tuju parti itu menjelang PRU ke-15, seperti yang dinyatakan Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri.