NUJ: Umno tak serius selamatkan Utusan
Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyifatkan Umno tidak serius dalam usaha untuk memulihkan syarikat Utusan Melayu (M) Bhd dan membela nasib pekerja syarikat akhbar pro-Umno itu.
NUJ turut menyalahkan Umno sebagai gagal menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi syarikat akhbar berbahasa Melayu itu.
"Sejak Umno meletakkan Datuk Aziz Sheikh Fadzir sebagai pengerusi eksekutif, keadaan Utusan semakin bertambah teruk dengan kakitangan lewat menerima gaji bulanan dan terpaksa menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang tidak adil kepada pekerja-pekerjanya baru baru ini.
"Malah Umno sendiri tidak serius untuk memulihkan Utusan dan membela nasib pekerja yang bernaung di bawahnya walaupun pelbagai desakan dilontarkan kepada parti tersebut.
"Lebih mengecewakan apabila Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang sedang bersidang ketika ini tidak langsung menjadikan isu menyelamatkan Utusan ini sebagai agenda utama mereka," kata persatuan wartawan itu dalam kenyataan media hari ini.
Abdul Aziz ialah pemimpin Umno yang menjadi anggota parlimen Kulim Bandar Baharu sehinggalah beliau kalah kepada Datuk Saifuddin Nasution Ismail pada pilihan raya umum lalu.
Sementara itu, Persidangan Perwakilan Dwi-Tahunan (BDC) persatuan itu hari ini meluluskan usul mendesak campur tangan pemegang saham lain untuk menyelamatkan Utusan daripada berkubur.
"NUJ mendesak setiausaha syarikat supaya memanggil persidangan tergempar dalam kalangan pemegang saham untuk menentukan hala tuju Utusan sebelum terlambat," katanya.
Kenyataan media itu turut memaklumkan bahawa pada persidengan itu, Presiden NUJ, Mohd Taufek Razak dan Setiausaha Agung NUJ, Chin Sung Chew mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua tanpa bertanding.
Pada 21 Sept lalu, media melaporkan seramai 800 daripada 1,500 kakitangan Utusan Melayu (M) Bhd akan ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS).
Pelaksanaan VSS itu dikatakan meliputi kakitangan Utusan Malaysia, Kosmo! dan sejumlah majalah yang diterbitkan oleh syarikat tersebut seperti Mastika, Saji dan Wanita.
Ogos lalu, syarikat berkenaan mengumumkan sedang menanggung hutang termungkir sebanyak lebih RM1.1 juta.

