'Hanya anggota yang ikhlas dan komited hadir PAU kali ini'
PAU 2018 | Rata-rata anggota Umno yang menyertai Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018 mengakui ia tidak lagi semeriah dan sebesar dulu.
Tetapi dari sisi positif pula, tidak seperti dulu, hanya anggota yang benar-benar komited dengan parti hadir pada tahun ini, menurut pemerhatian seorang perwakilan yang ditemui Malaysiakini.
Engku Juliana Engku Mokhtar berkata PAU tahun ini hanya dihadiri secara sukarela atas semangat perjuangan yang sebenar.
"Jika dibandingkan dengan PAU sebelumnya ada kakitangan kerajaan yang terpaksa hadir, tetapi sekarang ahli datang secara ikhlas atas semangat masing-masing," kata anggota Umno dari Pasir Puteh, Kelantan itu.

Menyuarakan sentimen sama, anggota Umno Putrajaya Khuzaimah Halim mengakui perhimpunan kali ini tidak lagi sebesar dulu.
"Tetapi sekarang pun okey sebab ini untuk membina semula keyakinan ahli kepada Umno," katanya (bawah) lagi ketika ditanya berhubung perhimpunan agung pertama Umno selaku pembangkang.

PAU kali ini dipendekkan selama tiga hari saja dan tidak lagi disiarkan secara langsung di televisyen kerajaan.
Terdahulu, sejumlah peniaga yang menyewa ruang jualan sempena PAU juga merungut keuntungan mereka tidak setinggi tahun-tahun sebelumya, malah berisiko menanggung kerugian.
Menjelang perhimpunan, bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menggesa pemimpin dan anggota parti itu menjadikan acara itu sebagai peluang untuk Umno "bangkit semula dari abu".
Sementara itu, anggota Umno yang ditemui Malaysiakini di PWTC juga menyatakan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi walaupun ucapan dasarnya Sabtu lalu dikritik.
Paling mendapat perhatian adalah Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang menyifatkan ucapan itu masih tidak menyatakan hala tuju Umno dengan jelas sama ada mahu menjadi pembangkang atau meneroka kerjasama dengan parti-parti Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menyentuh kritikan Khairy kepada Zahid, anggota Umno Ipoh Timur Ahmad Zam Zam Azlan berkata bekas ketua pemuda itu perlu akur kepada Zahid yang jauh lebih lama dalam parti berbandingnya.
"Saya tidak berpihak kepada sesiapa. Tapi yang muda kena ikut yang lama. Macam Khairy, orang masih suka kepada dia tapi dia kena berdiri di belakang Zahid dulu," katanya.
"Saya sebagai ahli patuh dan setia kepada ketua jadi saya menyokong Datuk Seri Zahid (berbanding Khairy)," kata perwakilan Hulu Langat Shahlan Abdul Aziz pula.

