Teresa terus jadi sasaran ahli Dewan Negara
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok (foto) terus menjadi sasaran ahli Dewan Negara berhubung tindakanya mendedahkan rakaman video seorang wanita diarah ketuk ketampi dalam keadaan bogel sewaktu dalam tahanan.
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok (foto) terus menjadi sasaran ahli Dewan Negara berhubung tindakanya mendedahkan rakaman video seorang wanita diarah ketuk ketampi dalam keadaan bogel sewaktu dalam tahanan.
Senator Datuk Dayang Mahani Tun Panglima Ahmad Raffae menyifatkan tindakan Teresa seolah-olah mempertikaikan kredibiliti pasukan polis ketika menjalankan tugas.
Katanya, bermula dari insiden itu juga, pasukan polis telah menerima 'hukuman' lebih awal, walaupun apa yang dilakukan merupakan prosedur biasa, terutama bagi kes yang melibatkan penyalahgunaan dadah.
"Akibat tekanan umum daripada insiden yang berlaku seolah-oleh polis telah membuat satu kesalahan dan mereka dihukum terlalu awal tanpa pemeriksaan yang teliti," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen hari ini.
Semalam,
Senator Datuk Syed Ali Alhabshee (foto) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Teresa kerana menayangkan video lucah seorang tahanan wanita yang melakukan ketuk ketampi sambil berbogel.
Katanya, perbuatan pemimpin DAP menayangkan video tersebut di hadapan menteri dan wakil rakyat di Lobi Parlimen, bulan lalu telah menjatuhkan maruah tahanan wanita tersebut.
Mohon maaf
Sementara itu, menurut laporan Bernama, Dayang Mahani berkata, perbuatan itu bukan sahaja telah memaksa Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid ke China memohon maaf, malahan memberi imej negatif mengenai negara ini kepada rakyat dari negara luar.
Suspek wanita berkenaan dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya selepas ditahan atas kesalahan membabitkan dadah di sebuah sekolah rendah di Damansara.
"Selepas ini bimbang mereka (polis) tidak buat kerja dengan baik, kita seharusnya memuji tindakan mereka kerana menjaga kepentingan negara, tindakan Teresa seolah-olah mahu memalukan polis," tambahnya.
Selain itu, Dayang Mahani juga menyifatkan tindakan Teresa dan Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang membawa empat orang warga China ke Parlimen selepas insiden tersebut seperti mencari publisiti murahan dalam usaha meraih perhatian masyarakat.
Sementara itu, Senator Siti Zailah Mohd Yusoff yang ditemui menyatakan rasa kesal terhadap apa yang berlaku dan berharap orang yang bertanggungjawab membuat rakaman itu dikenakan tindakan yang sewajarnya.
"Dalam hal ini maruah seseorang itu tidak kira bangsa atau dari negara mana ia datang perlu dijaga kerana ia hak asasi manusia, perbuatan yang tidak bertanggungjawab (tindakan membuat rakaman) ini perlu diambil tindakan," katanya.
'Mitos dan falasi'
Sementara itu, Kit Siang dalam satu kenyataan berkata, reaksi ahli-ahli politik Umno itu menunjukkan bahawa pemikiran zaman kuno masih lagi wujud sekarang.
"Pada zaman dahulu, raja akan memenggal leher pembawa utusan yang menyampai perkhabaran buruk kepadanya, tetapi nampaknya mentaliti kuno itu masih lagi wujud di Malaysia dalam kurun ke-21 ini," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Lim, ahli-ahli politik Umno masih terpengaruh dengan 'mitos dan falasi' berhubung isu tersebut:
"Bahawa pendedahan klip video itu di Parlimen pada 24 Januari lalu telah mendorong Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghantar Menteri Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid ke China untuk memperjelaskan bahawa pelancong dan pelawat China tidak menjadi sasaran di sini sedangkan keputusan itu dibuat sebelum klip video itu ditunjukkan, ini boleh disahkan oleh Datuk Seri Abdullah, Azmi dan para menteri kabinet.
"Bahawa Teresa telah menunjukkan klip tersebut kerana mangsanya adalah rakyat Cina, sedangkan Teresa dan saya berulangkali menyatakan di dalam dan di luar Parlimen bahawa ianya adalah semata-mata isu hak asasi manusia dan soal kerakyatan wanita itu tidak relevan," tambahnya.
'Siapa yang malukan'
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula bertanya bagaimana pula seorang senator Umno boleh mendakwa Teresa telah memalukan wanita tersebut sedangkan pihak polis yang memalukannya dengan amalan yang tidak pernah diterima oleh mana-mana undang-undang yang ada sekarang.
"Jika beliau (Teresa) mahu didakwa kerana mendedahkan skandal tersebut, jadi apakah pihak media dan menteri-menteri yang lain juga perlu didakwa sama?" soalnya lagi," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, Teresa hanya menunaikan tugasnya sebagai seorang ahli Parlimen dan jika dia mahu didakwa "DAP bukan sahaja akan mempertahankannya tetapi juga akan melancarkan kempen peringkat nasional dan antarabangsa supaya 'whistleblower' diberi perlindungan," katanya.
Katanya, isunya bukankan mengenai kerakyatan atau bangsa mangsa terbabit tetapi hakibatnya ialah hak asasinya telah dicabuli.
Selepas klip video itu didedahkan, tercetus spekulasi yang menyatakan mangsa terbabit adalah seorang rakyat China.
Bagaimanapun, Selasa lalu, suruhanjaya bebas yang menyiasatkan skandal tersebut, mengesahkan dia adalah seorang wanita Melayu yang ditahan berkaitan kes dadah.

