Tuduhan polis curi wang: Ada bukti lapor, kata IGP
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menggesa mana-mana pihak yang mempunyai bukti bahawa anggota keselamatan itu mencuri wang daripada Pavilion Residences yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak supaya tampil ke hadapan.
Beliau berkata, pihaknya memandang berat tuduhan yang mencalar kredibiliti pasukan polis, apatah lagi dalam kes berprofil tinggi itu.
"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau bukti kukuh bagi menyokong dakwaan yang dimaksudkan diminta membuat laporan polis agar siasatan lanjut dapat dijalankan.
"Tindakan ini wajar bagi membersihkan nama dan imej PDRM," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 28 Sept lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mencabar penulis blog Raja Petra Kamarudin kembali ke Malaysia dan membuat laporan susulan dakwaannya bahawa polis mencuri RM43.3 juta semasa serbuan di premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri.
Mohamad Fuzi dalam kenyataannya hari ini berkata setiap tindakan PDRM dalam kes membabitkan serbuan di Pavilion Residences telah dibuat dengan teliti.
Katanya, ia turut melibatkan pihak pengurusan kondominium mewah berkenaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelakkan sebarang pertikaian di kemudian hari.
"Malah semua pegawai/ anggota yang dipilih untuk menjalankan penggeledahan dan rampasan telah ditaklimatkan dengan terpeinci oleh Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, bagi memastikan mereka menjalankan tugas mengikut unas undang-undang," katanya.
Pada 18 Mei lalu, polis merampas 72 beg dan 284 kotak beg berjenama dari kediaman di Pavilion Residence, Kuala Lumpur.
Polis kemudian mengumumkan seramai 22 pegawai bank mengambil masa tiga hari untuk mengira 35 beg wang tunai yang dirampas.
Pihak berkuasa itu juga berkata jumlah keseluruhan wang tunai yang dirampas ialah sebanyak RM114 juta.
Sementara itu, Mohamad Fuzi turut menasihati semua pihak agar tidak membuat kenyataan yang menimbulkan spekulasi negatif atau menyentuh sensitiviti kaum.
Walaupun tidak menjelaskan lebih lanjut, Mohamad Fuzi dipercayai merujuk kenyataan Raja Petra yang didakwa memperlekeh serban yang dipakai oleh Amar Singh.
Kenyataan Raja Petra itu dibuat selepas Amar mengatakan penulis blog itu bertindak seperti 'penulis upahan' susulan dakwaan polis mencuri wang dari Pavillion Residences.

