Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Hadir ke program tentera, Anwar cakap tak serupa bikin
Diterbitkan:  Oct 4, 2018 3:00 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

PRK PD | Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "cakap tidak serupa bikin" apabila menurutnya menggunakan jentera dan kemudahan kerajaan dalam kempennya di PRK Port Dickson.

Beliau merujuk kehadiran Anwar di majlis penganugerahan pingat kepada pesara tentera di Muzium Tentera Port Dickson serta menggunakan kenderaan rasmi Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, semalam.

Beliau tiba ketika Mohamad sedang menyampaikan anugerah dan mengambil tempat duduk di barisan hadapan.

Mempersoalkan tindakan itu, Nasrudin berkata Anwar melanggar janjinya sendiri sebelum ini yang berkata tidak mahu menggunakan aset dan jentera kerajaan dalam kempennya.

"Apakah semua ini? Sandiwara politik? Tidakkah ini jelas membohongi dan mengkhianati apa yang diucapkannya sendiri?

"Saya tidak fikir ini calon yang sesuai diangkat sebagai perdana menteri, cakap tak serupa bikin. Tidak hairan jika calon ini menang, reformasi institusi yang sering dilaungkan akan dibakulsampahkan begitu saja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam program itu, Mohamad kebajikan tentera akan lebih terjamin jika Anwar menjadi anggota parlimen Port Dickson dan seterusnya perdana menteri.

Anwar ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata kehadirannya bukan untuk bertemu pengundi Port Dickson memandangkan 110 pesara tentera yang menerima pingat datang dari seluruh negara.

Selain itu, Nasrudin membangkitkan peruntukan berjumlah RM500,000 untuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di situ, seperti yang diumumkan Mohamad pada 21 September lalu, seminggu sebelum penamaan calon.

"Ternyata Pakatan Harapan tidak komited dengan agenda reformasi sebaliknya mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara demi mencapai cita-cita mereka," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS