NGO hak asasi antarabangsa gesa Malaysia tak hantar 'Tom Hanks Syria' pulang
Badan pemerhati hak asasi manusia yang berpusat di New York menyertai gesaan agar kerajaan Malaysia tidak menghantar pulang warga Syria Hassan al-Kontar kembali ke negaranya.
Hassan sebelum ini ditahan pihak berkuasa selepas tinggal di lapangan terbang KLIA2 lebih tujuh bulan kerana dikatakan takut dihantar pulang ke negaranya dan dipaksa menjadi tentera.
"Tiada alasan untuk Malaysia menghantar pulang Hassan al-Kontar ke Syria yang akan menjejaskan keselamatannya, dan sebaliknya perlu membenarkan Hassan tinggal di Malaysia dan menerima perlindungan daripada Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR)," kata timbalan pengarah Human Rights Watch bagi Asia, Phil Robertson.
Kisah Hassan sebelum ini mendapat perhatian selepas dia berkongsi pengalamannya tinggal di lapangan terbang melalui blog video, yang menyebabkannya dikenali sebagai 'Tom Hanks Syria' - sempena watak filem Hollywood tahun 2004, The Terminal.
Dia ditahan awal bulan ini dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Mohd Azis Jamman berkata Hassan akan dihantar pulang ke Syria dalam masa terdekat.
Azis mendakwa Hassan bertegas untuk mahu ke Kanada dan menolak bantuan yang ditawarkan negara lain termasuk Malaysia.
"Dia hanya mahu Kanada, tapi saya diberitahu Kanada akan ambil masa dua tahun untuk menerimanya, mungkin sebab proses," kata Azis.
Dalam kenyataan medianya, Robertson berkata kerajaan Malaysia perlu memberikan masa yang diperlukan untuk Kanada mempertimbangkan permohonan Hassan.
Sementara itu, Amnesty International Malaysia turut menggesa kerajaan Pakatan Harapan mempertimbangkan semula keputusan untuk menghantar Hassan kerana bimbang dengan keselamatan lelaki berkenaan.
"Pihak berkuasa Malaysia mempunyai rekod buruk menghantar pulang individu yang mempunyai risiko. Kami menggesa kerajaan baru mengubah cara ini dan menunjukkan bahawa situasi telah berubah," kata penyelidik badan berkenaan, Rachel Chhoa-Howard dipetik The Star hari ini.

