Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mahu moratorium terhadap semua tuduhan di bawah undang-undang yang menindas di negara ini sebelum kerajaan bertindak memansuhkannya.

Kenyataannya itu dibuat selepas polis terus menggunakan Akta Hasutan terhadap aktivis pro-kerajaan dan juga anggota pembangkang walaupun undang-undang itu dikatakan akan dimansuhkan.

“Walaupun masa diperlukan untuk memenuhi janji pilihan raya Pakatan Harapan untuk memansuhkan semua undang-undang yang menindas dan tidak demokratik - tindakan sabotaj oleh Dewan Negara dalam pemansuhan Akta Anti-Berita Tidak Benar sudah cukup untuk menggambarkan masalah yang perlu dihadapi - saya bersetuju dengan Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam), Gurdial Singh Nijar bahawa perlu ada moratorium terhadap semua tuduhan di bawah undang-undang menindas serta penggantungan terhadap semua hukuman mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Walau bagaimanapun, Lim berkata terdapat halangan untuk memansuhkan undang-undang tersebut.

Antara contoh itu, katanya, adalah Dewan Rakyat yang dikusai oleh HARAPAN meluluskan pemansuhan Akta Anti-Berita Tidak Benar menyaksikan rang undang-undang itu ditolak oleh Dewan Negara yang majoritinya masih anggota pembangkang.

Awal bulan ini, Azman Noor Adam, adik kepada anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam, ditangkap di bawah Akta Hasutan kerana menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini di sebalik permintaan berulang kali Dr Mahathir agar pihak berkuasa berhenti menahan mereka yang membuat penghinaan ke atas beliau.

Bagaimanapun, berhubung Akta Hasutan 1948, Mahathir berkata polis akan terus mengguna-pakai undang-undang berkenaan sehingga ia dimansuhkan.

Pemansuhan itu dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang apabila Dewan Rakyat bersidang pada 15 Oktober ini.