Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dr M: Tentulah saya gembira Anwar kembali ke Parlimen

DEWAN RAKYAT l Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau gembira melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen sebagai anggota parlimen Port Dickson.

"Tentulah saya gembira. Beliau dari (gabungan) parti yang sama," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pagi ini.

Anwar hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota parlimen Port Dickson selepas menang besar dalam PRK itu Sabtu lalu.

Ia menandakan bermulanya langkah peralihan kuasa daripada Mahathir kepadanya - selaku perdana menteri kelapan - seperti yang dipersetujui parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini.

Ia berlaku di saat ada dakwaan wujud pihak yang mahu mencetuskan pergeseran antara dua bekas musuh ketat itu.

Mahathir juga berkata kemenangan Anwar dalam PRK Port Dickson sudah dijangka, apatah lagi dengan pertembungan tujuh penjuru dengan calon PAS dan lima calon Bebas.

"Kami sudah menjangka dia akan kembali kerana apabila tujuh orang bertanding, (undi) pembangkang akan berpecah kepada enam dan yang ketujuh akan menang.

"Dan dia menang dengan sangat besar," katanya lagi yang angkat ke Kedah tengah hari ini.

Ditanya tentang perkara itu, Mahathir berkata ia untuk menghadiri majlis rasmi bersama Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

"Saya akan memberikan sebuah pingat kepada Sultan Kedah. Tiada isu lain, semua baik," katanya lagi.

Jumaat lalu, timbul khabar angin bahawa anaknya, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan menjadi menteri dalam negeri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghidap kanser pankreas.

Pesanan yang tular di media sosial itu juga mendakwa ADUN Gurun Datuk Johari Abdul akan menggantikannya sebagai menteri besar.

Kerajaan Kedah dan BERSATU telah menafikan dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS