Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pua 'bingung' baca laporan 1MDB Straits Times
Diterbitkan:  Oct 15, 2018 3:15 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Tony Pua menafikan laporan spekulasi disiarkan akhbar Singapura yang mendakwa Putrajaya berhutang dengan syarikat Abu Dhabi sebanyak AS$6.89 bilion (RM28.65 billion).

Menganggap akhbar harian tersebut sebagai "berterusan salah lapor" berhubung skandal 1MDB Pua berkata dia membuat dua kali semakan terhadap kenyataan dikeluarkan syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC) kepada bursa London.

“Syarikat Abu Dhabi itu menyatakan jaminan terhadap hutang-hutang IPIC berjumlah kira-kira AS6.89 bilion akan diambil syarikat induknya Mubadala.

"Pengumuman itu - pada masa sama - mendedahkan bahawa kewajiban jaminan disediakan oleh IPIC untuk dua bon 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion juga akan diambil Mubadala.

"Ia tidak menyatakan 1MDB berhutang AS$6.89 bilion kepada IPIC atau Mubadala,” kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Pua yang juga anggota parlimen Damansara berkata demikian sebagai mengulas laporan Straits Times pada 14 Okt mengenai hutang 1MDB.

Dalam laporannnya yang berjudul "Hutang 1MDB Malaysia pada Abu Dhabi mungkin meningkat, Straits Times mendakwa ia dianggarkan begitu berdasarkan kenyataan IPIC kepada Bursa Saham London pada 1 Okt lalu.

Persoal kawalan mutu

Dalam kenyataannya itu IPIC mengumumkan peralihan tanggungan dan komitmen mereka berhubung pinjaman 1MDB kepada Mubadala Development Co PJSC (Mubadala) sebagai syarikat induknya.

Baru-baru ini Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu Peguam Negara Tommy Thomas sedang memantau perbincangan yang berlangsung dengan IPIC berhubung penyelesaian hutang 1MDB.

Pua juga menafikan laporan Straits Times pada 7 Okt lalu yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan membuat "duluan berbahaya" dengan membayar obligasi kewangan 1MDB yang diwarisi daripada kerajaan BN.

Kata Pua kerajaan tidak ada pilihan kecuali memenuhi komitmen mereka ke atas bon yang diberi jaminan "berterusan" oleh Kementerian Kewangan kepada IPIC sebelum ini.

"Kegagalan berbuat demikian akan serta-merta mencetuskan potensi kemungkiran dan penurunan nilai untuk semua pinjaman-pinjaman lain kerajaan.

"Bagaimanapun, membuat pembayaran semasa tidak bermakna kerajaan mengaku kalah terhadap perjuangan kita ke atas pihak yang menipu 1MDB dan kerajaan Malaysia.

"Menteri kewangan dan perdana menteri sebelum ini menegaskan kami akan menggunakan semua saluran undang-undang terhadap mereka yang terlibat dalam rompakan (dana 1MDB) terhadap rakyat Malaysia, termasuk bank-bank pelaburan dan dalang secara individu," kata Pua.

Wakil rakyat DAP itu kemudian mengecam akhbar terbabit kerana tidak mendapatkan fakta yang sebenar dalam laporan mereka termasuk mendakwa kerajaan kononnya tidak lagi mengendahkan skandal 1MDB.

Kata Pua dua berita disiarkan Straits Times baru-baru ini dibacanya dengan perasaan bingung dan terkejut yang setara.

Bingung, kata Pua, disebabkan laporan terbabit mengelirukan dan lucu, manakala terkejut kerana dia seakan tidak percaya setahap itu akhbar terbabit melaksanakan kawalan mutu beritanya selepas selama ini mereka begitu bangga dengan laporan yang telus.

"Akhbar itu tidak kelihatan gagal mendapat fakta paling asas dengan betul.

"Jadi, apa yang berlaku kepada Straits Times Singapura yang secara berterusan membuat kesilapan pada laporan 1MDB?" katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Straits Times untuk mendapatkan komen mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS