Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
HARAPAN Johor: Jangan politikkan isu larangan Octoberfest
Diterbitkan:  Oct 17, 2018 5:40 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor meminta mana-mana pihak agar tidak mempolitikkan isu larangan penganjuran pesta arak atau Octoberfest di negeri itu.

Pengarah Penerangan dan Komunikasi HARAPAN Johor, Suhaizan Kayat berkata, kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dengan jelas merujuk kepada pesta arak secara terbuka dan bukan meliputi penjualan arak kepada bukan Islam.

"Perlu disedari bahawa keputusan ini adalah berdasarkan pertimbangan menjaga sensisitiviti Bangsa Johor di samping hak masyarakat bukan orang Islam terus dipelihara selagi ia tidak melanggar mana-mana peraturan sedia ada," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu katanya HARAPAN Johor memandang serius kepada mana-mana pihak yang cuba menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri menafikan hak orang bukan Islam.

"Isu-isu seperti penganjuran pesta arak bukan di premis persendirian harus dikendalikan dengan berhemah dan tidak wajar dimanipulasi menjadi polemik.

"Ia bukan medan untuk dipolitikkan yang tidak akan menguntungkan sesiapa, namun perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab demi menjaga keharmonian rakyat berbilang kaum di negara kita," katanya.

Penganjuran pesta arak atau Octoberfest kembali hangat diperkatakan selepas mencetuskan perdebatan panjang pada tahun lalu.

Kerajaan Terengganu antara yang terawal menafikan ia membenarkan penganjuran pesta berkenaan di negeri itu seperti yang tular di media sosial.

Ahad lalu Osman dilapor berkata pihaknya tidak menerima sebarang permohonan dan tiada sebarang lesen dikeluarkan bagi penganjuran Oktoberfest di Johor.

Osman berkata penganjuran secara terbuka itu berbeza dengan acara diadakan secara tertutup yang dibuat di premis menjual arak berlesen.

Sementara exco kerajaan Selangor, Datuk Teng Chang Khim pula meminta semua pihak tidak mensensasikan isu berkenaan.

Menurut Teng, kerajaan Selangor tidak pernah menghalang penganjuran acara yang memenuhi peraturan ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), termasuklah membabitkan acara pengambilan arak.

Mengulas lanjut Suhaizan berkata sebarang menipulasi daripada mana-mana pihak harus dihentikan serta merta bagi mengelakkan fitnah atau adu domba di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Pakatan Harapan Johor yakin rakyat dapat memahami dan menerima keputusan ini demi memastikan hubungan antara kaum dapat terus berjalan harmoni dan saling hormat menghormati," katanya.

Lihat Komen
ADS