story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Eli Wong serah 'bukti' anggota tentera terlibat pemilihan
Diterbitkan:  Oct 22, 2018 10:56 PM
Dikemaskini: 3:06 PM

PEMILIHAN PKR | Pemimpin PKR Elizabeth Wong berkata beliau telah menyerahkan bukti individu disyaki anggota tentera mengundi dalam pemilihan parti itu.

Dalam suatu kenyataan hari ini, beliau berkata dua set dokumen termasuklah lampiran telah diserahkan ke pejabat Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan suatu salinan telah diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

"Set pertama mengandungi nama dan butiran 3 orang yang disyaki anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah mengundi di sebelah pagi pada hari Pemilihan PKR Cabang Petaling Jaya Utara (PJU), manakala set kedua berkenaan penemuan 32 ahli Keadilan Cabang PJU yang didaftarkan atas beberapa alamat di Kem Angkatan Tentera Malaysia.

"Antaranya Kem Batu Kentomen, Kem Paya Jaras, Kem Sungai Buloh, Kem Wardieburn dan Kem Perdana Sg Besi.

"Tindakan ini dibuat bagi membolehkan Kementerian Pertahanan memulakan semakan sekiranya anggota ATM ada terlibat di dalam aktiviti politik, serta membantu cabang PJU mengemaskini senarai keanggotaan cabang," katanya.

Tujuh ditahan polis insiden berbeza

Elizabeth yang menang tanpa bertanding Ketua Cabang PKR Petaling Jaya Utara berkata aduan mengenai anggota ATM mengundi ini merupakan insiden berbeza dengan penahanan tujuh orang oleh polis berkaitan kekecohan pemilihan.

"Untuk makluman semua, aduan berkenaan anggota ATM yang mengundi pada sebelah pagi adalah insiden yang berbeza dengan insiden penahanan tujuh orang oleh PDRM yang berlaku pada sebelah petang.

"Tujuh orang yang ditangkap pada sebelah petang adalah mereka yang disyaki pengundi hantu dan bukan yang disyaki sebagai anggota ATM," katanya.

Terdahulu, Elizabeth yang juga ADUN Bukit Lanjan memberitahu Malaysiakini terdapat kira-kira 30 orang dihalang daripada mengundi pada pemilihan cabang PKR Petaling Jaya Utara selepas mereka didapati memegang kad pengenalan tentera.

Awal hari ini, Kementerian Pertahanan menyuarakan keprihatinan mengenai dakwaan tersebut dan berjanji akan mengambil tindakan jika pihak polis mendapati terdapat kes untuk disiasat.

Di bawah Peraturan Angkatan Tentera 2013 (Terma-Terma Perkhidmatan Bagi Angkatan Tetap), anggota tentera tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti politik.

Mana-mana anggota yang melanggar peraturan ini boleh ditamatkan perkhidmatannya.

PKR sedang menjalankan pemilihan kepimpinan peringkat cabang dan nasional di seluruh negara. Pengundian bermula pada 22 September dan akan berakhir pada 10 November depan.

Ikuti keputusan terkini pemilihan PKR di sini.
 

 

 

Lihat Komen
ADS