Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak melontarkan persoalan sama ada Parlimen masih releven atau tidak kepada wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menulis di Facebook miliknya, beliau berkata, ketidakhadiran beberapa menteri dan timbalan menteri di Dewan Rakyat minggu ini mencetuskan soalan berkenaan.

“Hari itu, (Pemimpin Veteran DAP, Lim) Kit Siang beri alasan bahawa tiada menteri ataupun timbalan menteri di Dewan Rakyat semasa saya membahas pada hari Selasa ialah kerana saya tidak relevan lagi.

“Keesokan hari, saya membalas Kit Siang bahawa saya tidak ada di Dewan tetapi menteri-menteri dan timbalan mereka juga hilang.

“Pagi semalam saya juga tidak ada di Dewan, tetapi menteri-menteri HARAPAN tetap hilang.

“Soalan saya kepada Kit Siang ialah menteri-menteri HARAPAN anggap saya tidak relevan ataupun mereka anggap Parlimen tidak relevan?” soalnya.

Selasa lalu ketika Najib membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat kerusi menteri dan timbalan menteri di hadapannya kosong. Suasana yang sama berulang pada Rabu dan semalam.

Semalam, Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon menasihatkan menteri dan timbalan menteri supaya merancang jadual mereka agar dapat menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Katanya, meskipun memahami kesibukan anggota parlimen, namun keutamaan tetap perlu diberikan kepada sidang Dewan Rakyat.

“Saya tahu menteri dan timbalan menteri sibuk, saya tahu ada jadual yang (padat) waktu bila ada dalam dewan terutamanya dalam dewan bersidang.

Bagi pihak parlimen, minta pentadbiran menteri disiplin untuk hadir sebagaimana diaturkan.

“Kalau menteri tak dapat hadir, timbalan menteri kena hadir dalam sidang Dewan Rakyat. Mungkin keutamaan nak rasmikan (sesuatu acara) itu, ini mungkin boleh diatur dengan cara lebih baik lagi,” katanya.