Akta Hasutan tidak akan dimansuhkan sesi parlimen ini
Pemansuhan Akta Hasutan 1948 mungkin tidak akan dibentangkan dalam sidang parlimen kali kerana belum menerima lampu hijau daripada Majlis Raja-Raja.
Perkara itu dinyatakan oleh timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin hari ini.
"Pada awalnya, kita mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948 tetapi saya diberitahu bahawa kita perlu mendapatkan persetujuan daripada Majlis Raja-Raja.
"Jadi mungkin (pemansuhan) Akta Hasutan akan dibentangkan dalam sidang parlimen akan datang (pada 2019)," katanya kepada media ketika ditemui selepas bercakap di Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018 di Kuala Lumpur.
"Untuk sesi parlimen ini, saya diberitahu bahawa kita akan meminda, saya tidak tahu, mungkin Akta Perhimpunan Aman 2012 dan kita perlu mengeluarkan beberapa klausa," katanya.
Awal bulan ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh berkata bahawa kerajaan akan memansuhkan undang-undang kontroversi itu dalam sidang Dewan Rakyat sekarang.
Gobind juga berkata Peguam Negara Tommy Thomas sedang melakukan perkara yang perlu untuk memansuhkan undang-undang berkenaan.
Terdahulu, Hanipa menjangkakan akta mengenai pembiayaan politik akan dibentangkan pada penggal ini oleh kerajaan Pakatan Harapan, namun enggan menyatakan tempoh masa yang khusus.
Beliau dijemput sebagai seorang ahli panel pada forum bertajuk 'Political Financing Legislation – The Way Forward' bersama pensyarah Universiti Malaya Terence Gomez dan pengarah eksekutif BERSIH Yap Swee Seng.




