BERSATU tak terima individu boleh timbul kemarahan rakyat seperti Nazri
BERSATU tidak akan menerima kemasukan mana-mana individu yang dilihat boleh menimbulkan kemarahan yang sekali gus boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap parti tersebut.
Timbalan presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata sekiranya kepimpinan tertinggi PPBM mengambil masuk individu tersebut masuk ke dalam parti ia akan menjadi kesilapan yang boleh merugikan parti BERSATU sendiri.
"Sangat penting untuk kita lihat siapa yang hendak sertai parti, kalau orang yang neutral mungkin kita boleh pertimbangkan tetapi orang yang terang-terang menyusahkan rakyat, memang kita tolak.
“Saya bercakap bagi BERSATU tetapi sekiranya parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) hendak terima, terpulang.
"Contohnya, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang sebelum ini telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan melampaui batas jadi silap kalau kami terima. Tambahan pula kita menerima penolakan yang sangat tinggi dari kalangan ahli BERSATU," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri Kedah di Alor Setar, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohamed Nazri semalam bahawa tidak pernah terdetik di hatinya untuk keluar Umno dan menyertai BERSATU sebaliknya ingin mempelawa Dr Mahathir dan Mukhriz kembali ke pangkuan Umno.
Baru-baru ini Mukhriz juga menyatakan sesiapa juga boleh menyertai parti dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad itu kecuali empat orang iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Mohamed Nazri sendiri.
- Bernama



