Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kadir: Biar pembaca nilai jika tulisan saya menghasut

Anggota Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk A Kadir Jasin mempertahankan tulisan di blognya yang disifatkan oleh seorang wakil rakyat PKR sebagai menghasut.

Kadir yang dihubungi Malaysiakini mengulas gesaan Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul agar beliau disiasat di bawah Akta Hasutan kerana didakwa menghina Sultan Kedah.

"Saya hormati kebebasan bersuaranya (Johari). Tapi saya serahkan kepada pembaca saya untuk nilai sendiri tulisan itu," katanya.

Terdahulu, Johari menyifatkan tulisan di blog Kadir pada 30 Okt lalu bersifat menghasut kerana ia didakwa memberi gambaran bahawa Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menyalahgunakan kedudukan untuk meraih peluang perniagaan.

Johari yang juga merupakan ADUN Gurun merujuk tulisan Kadir yang turut disiarkan Malaysiakini bertajuk "Rakyat perlu tahu peruntukan belanja buat raja".

Ini bukan kali pertama Kadir, yang juga merupakan penasihat media Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikritik susulan kenyataan berhubung institusi raja.

Sebelum ini, ketika mengulas kontroversi berhubung pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara, Kadir berkata pihak istana tidak perlu bimbang dengan kedudukan mereka kerana "mereka diberikan kemewahan."

Kadir kemudian menyenaraikan apa yang didakwanya sebagai perbelanjaan Yang diPertuan Agong.

Antara yang mengkritik kenyataan Kadir ketika itu ialah Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS