Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: MT Umno dijangka bincang kedudukan Zahid 9 Nov
Diterbitkan:  Nov 4, 2018 12:03 PM
Dikemaskini: 4:03 AM

Majlis Tertinggi (MT) Umno dilaporkan mungkian akan membincangkan kedudukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti dalam mesyuaratnya dijadualkan 9 November ini.

Ia berikutan 45 pertuduhan mahkamah yang dihadapkan kepada bekas timbalan perdana menteri itu untuk dakwaan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima suapan melebihi RM114 juta.

Laporan The Malaysian Insight memetik seorang anggota MT yang tidak dinamakan sebagai memberi jaminan kepada Pemuda Umno bahawa gesaan mereka agar Zahid bercuti sementara kes mahkamahnya selesai akan disuarakan dalam mesyuarat itu.

"Rakyat hendak melihat peranan Pemuda untuk memimpin Umno. Adakah (Pemuda Umno) akan terus jadi yes man (sehingga) ada kesilapan pemimpin pun tidak mahu tegur?" katanya semasa permukiman Pemuda Umno di Janda Baik, Pahang, seperti dipetik.

Pada 25 Oktober lalu, Pemuda Umno menggesa Zahid berbuat demikian agar beliau dapat memberi sepenuh perhatian terhadap kesnya.

Ini kerana tidak adil untuk membebankan beliau dengan tugas-tugas parti di saat "Umno terus bergerak ke hadapan", kata ketuanya Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam sidang media selepas mesyuarat sayap Umno itu.

Zahid bagaimanapun membayangkan beliau akan terus menjalankan tugas sebagai presiden.

Beberapa pemimpin Umno lain pula menyuarakan sokongan terhadap keputusan Zahid itu, antaranya Ketua Puteri Umno Datuk Zahida Zarik Khan serta anggota MT Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Lokman Noor Adam.

Lihat Komen
ADS