Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Musa berdiri hampir sejam dengar 35 tuduhan rasuah RM263j
Diterbitkan:  Nov 5, 2018 2:46 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenakan 35 pertuduhan ke atas bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman kerana menerima RM263 juta rasuah yang dikatakan berkaitan kontrak pembalakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Musa di Hong Kong dan Singapura melalui proksi antara 2004 dan 2008.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen (11a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang merujuk kepada kesalahan memberi atau menerima suapan oleh ejen.

Daripada 35 pertuduhan itu, nama salah seorang kenalan Musa, Chia Tien Foh disebutkan 16 kali.

Perbicaraan dijalankan di depan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayob.

Sekiranya didapati bersalah, Musa boleh dipenjara antara 14 hari hingga 20 tahun dan didenda sehingga lima kali ganda jumlah suapan untuk setiap kesalahan.

Musa berdiri selama kira-kira 45 minit sepanjang tempoh tuduhan ke atasnya dibacakan.

Gopal memohon mahkamah menetapkan Musa - yang menggunakan tongkat semasa berjalan - diikat jamin sebanyak RM5 juta dan pasport antarabangsanya dan diplomatinya diserahkan kepada mahkamah.

 Bagaimanapun peguam bela Musa, Amer Hamzah Arshad memohon hakim mengurangkan jumlah ikat jamin.

Alasan yang diberikan, Musa, 67, sebelum ini memberi kerjasama kepada SPRM dan turut pulang ke negara ini dari London untuk membantu siasatan.

"Pada Jumaat lalu beliau menerima notis yang mengarahkannya datang ke SPRM pada hari Isnin dengan menyangka beliau perlu memberi keterangan dan tidak mengetahui akan ditahan.

"Beliau sedia datang dan ditahan sebelum dibawa ke mahkamah.

"Ikat jamin tidak sepatutnya keterlaluan kerana anak guam saya memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan," kata Amer Hamzah.

Seorang lagi peguam bela Musa, Ridha Abdah Subri, berkata Musa tidak berisiko melarikan diri kerana kerajaan sudah mengenakan sekatan perjalanan ke atasnya.

Rozina kemudian menetapkan ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin.

Separuh daripada bayaran ikat jamin itu perlu diselesaikan hari ini dan selebihnya selewat-lewatnya Rabu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS