Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hanipa 'gembira' Najib kini lebih rajin bercakap
Diterbitkan:  Nov 6, 2018 11:24 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Selepas bertahun-tahun terkekang sekarang memang masa yang sesuai buat Datuk Seri Najib Razak bercakap banyak kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin.

Kata Hanipa selama ini orang ramai berharap Najib bercakap mengenai 1MDB di parlimen namun ia berakhir dengan kekecewaan.

Lebih malang katanya mana-mana anggota parlimen yang ingin memperkatakan 1MDB juga dihalang berbuat demikian.

"Sekarang YB (Najib) nak bercakap ya? Cakaplah," katanya.

Namun Hanipa yang juga anggota parlimen Sepang mengingatkan Najib, percakapan itu tidak semudah yang disangka.

"Pastikan ada orang dengar, malah bukan setakat dengar saja. Pastikan orang percaya juga!" katanya.

Kenyataan Hanipa itu dibuat ekoran tindakan bekas perdana menteri itu bersiaran langsung di Facebook semalam.

Melalui siaran langsung selama 189 saat - atau lebih sedikit daripada tiga minit - Najib menjelaskan tindakannya yang banyak memberi komen sejak menjadi pembangkang bertujuan untuk memberikan sumbangan kepada negara. 

Beliau juga tidak melayan sebarang soalan yang dikemukakan penonton.

Beliau yang menjadi pemimpin pertama Umno dan BN yang gagal mendapatkan mandat untuk parti itu terus menjadi kerajaan juga menegaskan tiada niat untuk kembali menjadi perdana menteri.

Tidak dapat dipastikan mengapa beliau menyentuh perkara itu ketika Umno sudah mempunyai presidennya sendiri, iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Baca Siapa pembangun aplikasi Najib Razak?


Bagaimanapun ia dilihat mungkin ada kaitan dengan 'serangan' dibuat akhbar Umno terhadap Najib melalui ruangan pojok Mingguan Malaysia pada 4 Nov lalu.

Untuk rekod semasa menjadi perdana menteri Najib sering menyampaikan pandangannya melalui laman sesawang khas najibrazak.com. Bagaimanapun selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan pusat beliau dilihat begitu aktif di media sosial saja.

Mengulas mengenai kenyataan Najib yang tidak lagi berminat menjadi perdana menteri sekali lagi Hanipa juga menyambut baik penegasan tersebut.

Kata Hanipa ia memang wajar dialu-alukan oleh semua pihak.

"Rakyat pun sama, dah tak mahu lagi YB jadi perdana menteri, sebab semua dah serik," katanya.

Lihat Komen
ADS