Paling Popular
Terkini

ULASAN | Belanjawan 2019 selesai dibentang Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat lalu. Perinciannya dikupas pakar, penganalisis, pelayar media sosial dan kebanyakan media massa termasuk milik kerajaan.

Respon balas diberikan pelbagai pihak - termasuk daripada pembangkang - secara positif atau negatif.

Pada belanjawan sulung Pakatan Harapan itu ada kegembiraan terzahir melalui peruntukan yang diberikan kerajaan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah seliaan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Syabas diucapkan buat JPM. Kumpulan kerja Mujahid sudah tentu amat bergembira dengan peruntukan belanjawan tersebut.

Dengan dana sebegitu nampaknya Mujahid dan rakan-rakannya di JPM boleh bernafas lega - jika faktor kewangan dijadikan ukuran secara langsung.

Bermacam-macam idea boleh bermain di minda dengan adanya peruntukan daripada kementerian kewangan.

Namun harus diingat merancang perjalanan mekanisme kerajaan pusat tidaklah semudah merencana program parti.

Kita biasanya jarang mendapat halangan atau bantahan semasa merangka program parti. Mungkin kerana ia lebih bersifat eksklusif dan sukarela.

Ada kabur, ada gusar

Apa saja keputusan pucuk pimpinan lazimnya anggota parti akan cenderung untuk patuh bersetuju. Apa cadangan jawatankuasa pusat, semua yang di bawah menerimanya dan mengucapkan selamat maju jaya, sambil ahli terus berehat-rehat di cawangan atau ranting masing-masing

Hampir lengkap enam bulan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memerintah Malaysia, namun rakyat secara umumnya belum nampak hasil yang membanggakan daripada perjalanan urus tadbir hal ehwal Islam.

Malah, tidak terlalu keras untuk direkodkan bahawa rakyat tidak nampak hala tuju sebenar pasukan Mujahid dalam mengurus tadbir kepentingan agama dan ummah.

Gambar hiasan

Mungkinlah kita boleh pejamkan sebelah mata pada setiap kritikan yang dikemukakan lawan politik melalui media sosial atas alasan kegagalan mereka memahami tiga tunggak yang dikemukakan.

Malangnya, ia tidak terhenti di situ saja. Penyokong HARAPAN juga tidak kurang yang masih kabur. Itu hakikatnya.

Pegawai di institusi agama sendiri menzahirkan kegusaran. Tidak ketinggalan tokoh agama dalam negara.

Saya sempat bersembang pendek dengan timbalan mufti di sebuah negeri. Kebetulan kami memang berkawan.

Terang di dalam, umpat di luar

Ditanya pendapatnya mengenai pembangunan Islam dari Putrajaya beliau berkata seolah-olah tidak ada usaha kerajaan mengawal keadaan semasa.

Dia merujuk kepada kenyataan dibuat oleh kumpulan liberal, keberanian komuniti Syiah bersuara dan celuparnya segelintir orang bukan Islam mengkritik institusi Islam di media sosial.

Saya tidak mengajak para pembaca menilai kenyataan beliau di sini, sebaliknya cukuplah jika kita bertanya: kenapa timbalan mufti itu - yang sepatutnya lebih memahami falsafah baru kerajaan - bersuara sedemikian?

Gambar hiasan

Seorang rakan lain yang bertugas di sebuah pejabat mufti pula pernah bersuara marah kerana Mujahid tidak memulakan perancangan dengan berbincang dengan mereka terlebih dahulu.

Justeru, katanya, selepas timbul masalah barulah menteri terbabit mencari mufti dan pembantu-pembantunya.

Saya tidak dapat mengesahkan kebenaran kenyataan tadi, namun tidak pelik suara sebegitu muncul jika kita amati perincian bualan rakyat di media sosial dan 'kedai kopi ilmuwan'.

Dalam sebuah majlis, di dalam dewan Mujahid gigih mengulas secara mendalam idea-ideanya, tetapi pada masa sama kakitangan institusi agama yang ada di luar dewan pula tekun mengkritik menteri tersebut.

Namun selepas majlis selesai, mereka - yang mengkritik itu - kelihatan antara orang yang paling awal bersegera mahu bergambar bersama-sama menteri berkenaan.

Kejadian tersebut dikisahkan rakan saya yang berada pada majlis itu.

Pastikan kota dibina kukuh

Isu saya di sini bukanlah sikap bermuka-muka atau tindakan kurang sopan ditunjukkan pegawai terbabit, tetapi persoalan demi persoalan berkait kepada soalan utama: apa puncanya sehingga seperti ada kelompongan tertentu di situ?

Akhirnya, saya nukilkan di sini pandangan seorang tokoh agamawan yang pernah mentadbir satu institusi agama negara apabila saya mengusik pandangan beliau terhadap prestasi Mujahid:

Ana (saya) lihat beliau masih dalam rangka berfikir seorang ahli akademik. Sebagai menteri beliau kena tahu, rakyat mahukan program.

"Apa program beliau? Bagaimana nak laksanakan idea-ideanya itu?”

Saya coretkan tulisan pendek ini sekadar ingin berkongsi rasa yang bergejolak di peringkat bawahan.

Sekiranya ia sedia dimaklumi, alhamdulillah, masih ada masa yang banyak dan ruang yang luas untuk menilai semula peta perancangan Mujahid di JPM serta kerajaan HARAPAN.

Isu-isu agama yang diutarakan oleh pihak kerajaan tidak semestinya menjadi isu kepada rakyat.

Isu-isu rakyat berkaitan agama yang dinilai sebagai isu ummah oleh mereka, mesti diambil kira oleh kerajaan.

Dalam membina empayar besar, seseorang pemimpin atau kerajaan akan bermula dengan membina kuasa dan pengaruh di peringkat dalaman terlebih dahulu.

Pastikan istana dan kota utama benar-benar kukuh dengan kerjasama yang erat daripada setiap individu, termasuk pihak yang merancang serangan dan menyusun sistem pertahanan.

Sultan Muhammad al-Fatih tidak membuka Istanbul seorang diri bersama dua tiga kerat pembantunya.


IBNU MOHAMED ialah pembaca setia Malaysiakini yang aktif di media sosial dan menjadi ahli biasa parti politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS